SHAH ALAM, 26 Februari - Seorang bekas kontraktor dipenjara setahun empat bulan dan denda RM10,000 serta tiga sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Tertuduh M. Sivanesan, 35 tahun didakwa atas dua pertuduhan memperdaya dan menggunakan dokumen palsu berhubung projek pembinaan blok bangunan sekolah rendah di Hulu Selangor pada tahun 2016.
Bagi pertuduhan pertama, M. Sivanesan didakwa memperdayakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan mendorong persatuan itu menyerahkan wang sebanyak RM285,000 bagi menyiapkan pembinaan satu blok bangunan sekolah.
Perbuatan tersebut dilakukan antara 24 Ogos 2016 hingga 26 Oktober 2016.
Pertuduhan kedua pula, adalah mengemukakan dokumen palsu kepada Ahli Mesyuarat PIBG sekolah sama.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh hari ini.