fb fb fb fb fb

Yok Jalan Raya: Johorfm santuni pendengar jelajah tiga lokasi

Lima penyampai radio JohorFM bersama pemenang Kad Raya Paling Kreatif di Kota Tinggi, Johor, semalam/Foto Johorfm

KOTA TINGGI, 12 April - Program Yok Jalan Raya 2025 anjuran JohorFM diteruskan lagi tahun ini selepas menerima sambutan menggalakkan daripada pendengar pada edisi pertamanya, tahun lalu.

Program selama tiga hari itu menyaksikan lima penyampai radio JohorFM turun padang menyantuni dan meraikan enam pemenang pertandingan Kad Raya Paling Kreatif di tiga lokasi utama iaitu Kota Tinggi, Muar dan Johor Bahru.

Penolong Penerbit Yok Jalan Raya 2025, Syuhada' Balqis Juhali atau lebih dikenali sebagai DJ Cik Kiss berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimbau kenangan lama, malah mengukuhkan hubungan antara JohorFM dan masyarakat setempat.

“Kami masih mahu mengekalkan nostalgia lama iaitu tradisi menghantar kad raya kerana ia sebenarnya masih lagi relevan dalam suasana moden sekarang.

"Biasanya orang hantar ucapan melalui digital, tetapi kami amat menghargai usaha para pendengar yang sanggup menghantar kad raya fizikal kepada penyampai-penyampai JohorFM,” katanya ketika ditemui RTM di Kota Tinggi.

Sementara itu, salah seorang pemenang, Rahimah Kemat, seorang suri rumah, melahirkan rasa teruja apabila berpeluang bertemu penyampai radio kegemarannya secara berdepan.

“Syukur alhamdulillah, memang akak minat sangat radio JohorFM dan DJ-DJnya. Tujuan akak masuk pertandingan ni memang nak tengok mereka secara langsung, alhamdulillah akhirnya dapat juga jumpa terutama DJ Saufi, Cik Kiss dan yang lain-lain,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, Zainab Zainal, juga seorang suri rumah, tidak menyangka hasil kreativiti spontan yang dihasilkan dalam masa singkat membolehkannya meraih kemenangan.

“Saya sebenarnya tak sangka boleh menang. Saya buat pun suka-suka je, selepas solat Asar terus buat. Ambil masa dalam setengah jam juga nak tunggu gam kering,” katanya.

Program Yok Jalan Raya 2025 anjuran JohorFM ini bukan sahaja menjadi platform mendekatkan penyampai radio dengan pendengar malah mengembalikan nostalgia tradisi berkongsi kad raya dalam kalangan masyarakat.

GRACE AISYAH KEDAYAN