KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Seakan tuah berganda buat pembawa nama Awang Suffian Awang Hussein, 45 atau lebih dikenali sebagai DJ Sonic yang sekali lagi tersenarai dalam kelompok lima popular dalam kategori Penyampai Radio Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36.
Meskipun berada sebaris dengan nama besar dalam kategori itu, DJ Sonic menyifatkan ianya satu peluang hebat pada edisi kali ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sekali lagi berada dalam senarai ini. Selepas berita baik, ini sekali lagi berita baik buat saya. Berada dalam senarai ini saya juga sudah berbangga, sekiranya menang, bertambah bahagia saya rasa,” jawabnya dalam nada gembira.
Pada masa sama anak kelahiran Kapit, Sarawak itu semakin sedar bahawa pendengar stesen radio kerajaan juga ada punya pengikut tersendiri.
Pengemudi segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama rakan penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai beranggapan segmen itu juga membuatkan dirinya semakin dikenali.
“Ya, saya mengakui selain peminat sedia ada, ada juga pendengar yang baru mendengar gabungan kami bertiga. Jadi saya tidak menafikan segmen itu juga menjadi titik tambah dalam karier saya.
“Lagi pula RTM kini boleh diakses dari seluruh dunia, tidak hanya stesen radio rancangan televisyen juga boleh ditonton menerusi https://rtmklik.rtm.gov.my dan juga boleh muat turun aplikasi RTMklik. Sangat mudah untuk menonton semua siaran RTM.
“Peluang ini adalah peluang kita, peluang yang kita boleh gunakan untuk sama-sama menyampaikan informasi dan maklumat kepada masyarakat. Saya juga berbangga kerana sudah sampai ke tahap ini,” kata DJ Sonic.
Foto Instagram DJ Sonic
Selain DJ Sonic, turut berada dalam kategori sama ialah Haiza, KJ, Sharifah Shahirah dan pemenang Penyampai Radio Popular ABPBH 35, Tyzo.
Sebelum ini DJ Sonic turut diumumkan berada dalam 10 kelompok popular kategori Penyampai Radio Popular dan juga dalam senarai 36 calon ABPBH 36 yang menerima undian tertinggi.
Ia sekali gus memberi gambaran bahawa usaha yang dilakukan jejaka itu dalam tempoh lebih 20 tahun dalam industri penyiaran membuahkan pencapaian tersendiri.
“Tidak mudah sebenarnya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan barisan personaliti lain. Tetapi ia memberikan saya semangat untuk terus berjuang.
“Sokongan dan dorongan daripada semua pihak termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan nama-nama yang tidak dapat saya sebutkan, menjadi penguat bagi saya melangkah lebih berani untuk terus berada dalam industri penyiaran. Ini adalah minat saya, ini juga kesukaan saya. Saya tetap akan jadi penyampai radio,” katanya menutup perbualan.
Malam kemuncak ABPBP 36, mengangkat tema ‘Teguh’ selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.
Acara gilang-gemilang itu akan dikemudikan tiga pengacara iaitu Didie Alias, Hanif Hamzah dan Riena Diana di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Namun siapakah yang bakal membawa trofi setiap kategori yang dipertandingkan? Adakah peluang buat calon tunggal RTM, DJ Sonic? Sama-sama kita nantikan semua pemenang bagi kategori masing-masing dalam ABPBH 36 pada 11 Oktober ini pukul 9.00 malam.
BERITA BERKAITAN