KUALA LUMPUR, 23 Disember 2024 – Saluran televisyen ikonik Malaysia, TV1, bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-61 pada 28 Disember ini.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam satu kenyataan memaklumkan selama lebih enam dekad, TV1 terus menjadi medium hiburan dan informasi yang menyatukan rakyat Malaysia dengan kandungan berkualiti dan bermakna.
Sebagai penghormatan kepada penonton setianya, TV1 mempersembahkan tiga telefilem istimewa sepanjang hari ulang tahun tersebut.
Tayangan bermula dengan “Kami Nak Jadi Superstar” pada pukul 1.30 tengah hari, diikuti oleh “Hari Itu Dalam Sejarah” pada pukul 4.05 petang, dan diakhiri dengan “This Is Pilah” pada pukul 9.00 malam.
Kami Nak Jadi Superstar
Telefilem arahan Rizalwan Ramli menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Mark Adam, Joey Daud, dan Kazar Saisi.
Ia mengisahkan perjalanan tiga pemuda, Aliff, Bani, dan Mael, yang merantau ke Kuala Lumpur untuk mengejar impian menyertai pertandingan muzik ‘Battle of The Band’. Dengan bantuan Eddy dan Boy, mereka membina kejayaan bersama kumpulan Al-Farabi Band dan mencipta lagu hit ‘Untukmu Ibu’.
Namun, kejayaan tersebut turut diselubungi cabaran yang menguji kekuatan mereka.
Hari Itu Dalam Sejarah
Menghidupkan nostalgia televisyen berwarna, drama berkenaan mengisahkan Karim, seorang budak berusia 12 tahun, dan rakan-rakannya yang teruja dengan ketibaan televisyen berwarna pertama di kampung mereka.
Drama terbitan Unit Drama TV RTM membawa penonton menyelami pengalaman masa lalu yang penuh makna dan kegembiraan.
This Is Pilah
Menutup tayangan istimewa, drama komedi “This Is Pilah” berkisarkan Hanif dan Mat Kadir (MK) yang bercita-cita masuk televisyen. Lakonan mantap Joey Daud, Megat Adli, dan Datin Fadilah Mansor menambah warna kepada kisah perjalanan dua sahabat yang penuh cabaran dan kelucuan.
Perjalanan mereka ke Kuala Lumpur mempertemukan mereka dengan Pak Osman, seorang seniman jalanan, dan Ellie Iskandar, seorang wartawan yang membantu menonjolkan bakat mereka.
Para penonton turut dapat menonton telefilem berkenaan secara langsung di TV1 atau strim di platform digital RTMKlik.