fb fb fb fb fb

RTM ungguli Top 5 Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024

Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024

KUALA LUMPUR, 9 Oktober-Radio Televisyen Malaysia (RTM) mendominasi senarai pencalonan lima teratas (Top 5) bagi Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 menerusi 124 pencalonan dalam 60 kategori yang dipertandingkan.

RTM dalam kenyataan memaklumkan pencalonan tersebut termasuk 40 kategori televisyen, 16 kategori radio, dan empat kategori media baharu seperti Podcast Terbaik.

Selain itu, pencalonan RTM melibatkan 104 pencalonan daripada kakitangan RTM dan 20 pencalonan daripada syarikat swasta yang bekerjasama dengan RTM.

Antara kategori yang menampilkan dominasi RTM termasuklah Rancangan Sukan TV Terbaik,menampilkan lima calon RTM iaitu, Azmawani Hassan menerusi program Apa Khabar Jaguh episod 10, Fariz Zulkepley (Jom Dive episod 1), Jabir Shafiee dan Unit Sukan TV (Akhir TM Piala Malaysia: Kuala Lumpur vs Johor Darul Takzim), serta Saliza Ibrahim dengan dua pencalonan bagi Aksi 2023 - Oceanman Redang 2023 dan Jiwa Juara: Satu Impian Sejuta Harapan.

Kategori Hiburan Radio Terbaik turut menyaksikan pencalonan daripada RTM dengan nama-nama seperti Liang Kim Loong (AiFM), Noorashila Ashura (KLfm), Hafizah Rosli (Mutiara FM), Nur Aini Sulong (Terengganu FM), dan Norazura Abdul Ghani (TRAXXfm).

Sementara itu, beberapa individu RTM turut menyerlah dengan pencalonan lebih daripada satu kategori antaranya, Mohammed Shahril Bin Sarapudin yang tersenarai dalam kategori Liputan Khas, Siaran Langsung Terbaik, dan Pengulas TV Terbaik. Jabir Shafiee pula berjaya pula tercalon dalam tiga kategori iaitu Rancangan Sukan TV Terbaik, Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik, dan Liputan Sukan TV Terbaik.

Manakala, Hasmahani Abdul Hanipah tampil dengan dua pencalonan dalam Audio Rancangan TV Terbaik dan Pengimbangan Muzik TV Terbaik.

Bagi kategori drama, RTM turut bersaing dengan karya terbitan swasta yang menampilkan enam pencalonan melalui drama Bahalol bagi kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Wanita Drama TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, dan Penataan Cahaya TV Terbaik. Drama Pasir Putih Mantanani terbitan Unit Drama TV RTM juga menerima empat pencalonan termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Penataan Cahaya TV Terbaik, dan Tatarias TV Terbaik.

ASA yang diadakan setiap dua tahun sekali turut menampilkan dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa yang bakal diumumkan pada malam kemuncak menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

RTM dengan 124 pencalonan dilihat sebagai pencabar utama dan dijangka menguasai majlis penganugerahan tersebut.

ASA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi bertujuan memberi penghargaan kepada penggiat industri kreatif penyiaran tempatan.

Anugerah berprestij itu akan berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Oktober ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD