KUALA LUMPUR, 12 September– RTM akan menyiarkan dua dokumentari khas sempena Hari Malaysia 2024 iaitu "Syarif Masahor” dan “Sabah ID Ginawoku".
Kedua-dua dokumentari akan disiarkan pada 16 September ini, masing-masing pada pukul 4.05 dan 4.30 petang menerusi saluran TV1 dan RTMKlik.
Manakala, siaran ulangan bagi Syarif Masahor pada 23 September dan ID Ginawoku pada 24 September ini, pukul 10.00 malam menerusi saluran Okey.
Penerbitan dokumentari ini bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963, Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada tanggal 16 September, selain memperingati jasa dan perjuangan tokoh yang banyak berjasa terhadap negara.
Sinopsis Dokumentari Syarif Masahor, terbitan RTM Sarawak:
Merungkai kisah kepahlawanan seorang tokoh pejuang bernama Syarif Masahor yang menentang penjajahan keluarga Brooke di Sarawak dan kolonial British di semenanjung tanah Melayu dari sudut pandang waris, sarjana dan pengkaji sejarah tempatan.
Semangat perjuangan tokoh ini dalam mempertahankan hak orang tempatan dikedua-dua wilayah ini sebelum penubuhan Malaysia sangat memberi inspirasi dan wajar dicontohi generasi muda.
Sinopsis Dokumentari Sabah ID Ginawoku, terbitan RTM Sabah:
Memaparkan kehidupan dua orang guru yang berasal dari Sarawak (sekolah menengah) dan Kelantan (sekolah rendah) yang sanggup berkhidmat untuk mencurahkan ilmu mereka kepada anak-anak desa di kawasan pedalaman negeri Sabah iaitu Ulu Sugut.
Perjalanan sejauh kira-kira lapan puluh sembilan kilometer ke Ulu Sugut memakan masa lebih kurang tiga jam dari Pekan Ranau dengan melalui jalan tidak berturap bukan halangan bagi mereka untuk menabur bakti kepada anak bangsa.