fb fb fb fb fb

Penyanyi dangdut Zaleha Hamid meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru

Penyanyi dangdut Zaleha Hamid meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Penyanyi dangdut popular era 1980-an, Zaleha Hamid meninggal dunia pada usia 65 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Perkara itu disahkan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz yang memaklumkan jenazah kini masih dalam proses pengurusan di unit forensik hospital berkenaan.

Menurut beliau, Zaleha mengalami sesak nafas pada petang semalam sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Namun, keadaannya kembali merosot tidak lama kemudian.

“Keadaan Allahyarhamah mula terjejas semula disebabkan kandungan kalsium berlebihan dalam otak yang menyebabkan kekejangan, sama seperti yang pernah berlaku ketika beliau diserang angin ahmar pada 2019,” jelas Ungku Sulaiman.

Ungku Sulaiman berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru selepas solat Jumaat esok. 

Zaleha meninggalkan tiga anak dan enam cucu. 

Antara lagunya yang popular adalah Jangan Segan Segan, Jangan Kau Tangiskan, Nasib Janda, Sesejuk Airmata Ibu, Dangdut Reggae serta lagu duet termasuk Inang Aidilfitri bersama Allahyarham Datuk Sudirman, Sesuci Kasihku Semurni Cintamu bersama Aziz Ahmad dan Joget Burung Merpati bersama Herman Tino.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN