KUALA LUMPUR, 19 Mac - Pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berhasrat untuk memperbaiki kelemahan diri menjelang aksi persahabatan dengan pasukan Filiphina dan Singapura pada minggu hadapan.
Menurut beliau, ia adalah cara untuk belajar dari kesilapan lama dan akan terus meningkatkan kemampuan diri untuk skuad kebangsaan kali ini.
"Untuk saya sendiri dah main dekat Dubai dengan AFF, kelemahan saya sebelum ini akan perbaiki, saya akan buat balik untuk perlawanan persahabatan kali ini, saya tahu kelemahan saya dan apa yang saya boleh buat saya kena belajar dari kesilapan, jadi ini lah cara saya untuk belajar, mungkin sebelum ni saya tak puas hati dengan prestasi saya, kali ini saya akan tunjukkan kembali," kata beliau sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Dalam pada itu, Luqman yang beraksi bersama pemain kelab Belgium, KV Kortrijk menyatakan kesyukuran kerana terpilih dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih baharu, Kim Pan Gon.
(Barisan pemain Harimau Malaya menjalani latihan pusat Stadium Nasional Bukit Jalil)
Sementara itu, walaupun tidak terpilih bagi beraksi dalam Piala Suzuki AFF lalu, namun penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias terharu kerana terpilih ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di bawah kendalian Pan Gon.
Penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu menyifatkan panggilan kali ini merupakan peluang yang dinantikan beliau selama ini.
"Sudah pasti peluang ini saya tidak akan lepaskan, apa yang saya impikan adalah untuk bermain untuk pasukan negara sejak kecil, jadi perkara ini saya harus gunakan sepenuhnya, saya mengharapkan saya boleh bagi sesuatu (sumbangan) pada skuad negara," kata beliau.
Tambah Farizal, ketegasan Pan Gon turut memberi kesan positif dari segi disiplin dan motivasi kepada semua pemain.