KUCHING, 22 Mac- Edisi Ke-27 Festival Hutan Hujan Muzik Sedunia, RWMF akan kembali memeriahkan Kampung Budaya Sarawak di Kuching dengan alunan muzik serata dunia dari 28 hingga 30 Jun depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ‘Evolution’ dipilih sebagai tema festival tersebut tahun ini.
Festival, bakal menampilkan 68 artis dan pemuzik antarabangsa dari 15 negara termasuk artis lagenda dari Jepun, Kitaro selain Krakatau Ethno dari Indonesia.
Manakala artis tempatan yang akan menghangatkan pentas RWMF, antaranya Datuk Zainal Abidin, Alena Murang dan Belle Sisoski.
Datuk Seri Karim berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran rasmi RWMF 2024 di Kuching hari ini.
Jualan tiket akan mula dibuka pada pertengahan bulan depan dengan tawaran harga RM635 bagi dewasa untuk tiga hari festival itu.
Tiket bagi tempahan awal ditawarkan pada RM235 untuk sehari, pra-jualan RM283, dan ‘door-sale’ RM333.
Harga tiket untuk kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun ialah RM80 sehari dan kanak-kanak berumur bawah tiga tahun masuk percuma.