fb fb fb fb fb

Jenazah M Daud Kilau selamat dikebumikan

Allahyarham yang terkenal dengan lagu ‘Cek Mek Molek’ meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

BAGAN DATUK, 19 Disember- Jenazah penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk pada pukul 2.20 petang tadi.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Balai Baroh.

Antara rakan artis yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham ialah Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) Datuk DJ Dave.

Menurut DJ Dave, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang peramah dan kelakar.

"Kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham tiga minggu lepas ketika datang melawatnya," kata DJ Dave kepada pemberita di sini.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun kira-kira pukul 4.46 petang semalam.

Penyanyi itu sebelum ini dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lepas kerana penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung.

Allahyarham yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Artikel Berkaitan:
Jenazah M Daud Kilau dibawa ke Masjid Tuminah Hamidi
Anwar, Ahmad Zahid ucap takziah kepada keluarga M Daud Kilau
Dukacita Datuk M Daud Kilau meninggal dunia

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM