KUANTAN,25 Oktober - Istiadat Berinai Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, berlangsung dengan penuh istiadat dan tradisi di Istana Abdulaziz, Kuantan, malam tadi.
Istiadat Berinai merupakan sebahagian daripada istiadat perkahwinan diraja yang berlangsung selama tiga hari.
Istiadat ini diadakan sehari selepas Istiadat Akad Nikah yang menyaksikan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah selamat diijabkabulkan dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, semalam.
Pada Istiadat Berinai malam tadi, Tengku Muhammad Iskandar tampil segak dalam busana tradisional berwarna biru, manakala Tengku Natasya Puteri mengenakan baju sedondon.
Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad, 27 Oktober.
Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan.