fb fb fb fb fb

Irama rakyat 'Cak Cak Cekuk' taruhan Wani Kayrie

Wani Kayrie

KUALA LUMPUR, 24 Mei- 'Cak Cak Cekuk', sebuah lagu pop moden bernuansa tradisional yang menyatukan elemen budaya lama dengan susunan muzik kontemporari menjadi taruhan Wani Kayrie.

Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan bersama barisan komposer berbakat Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh yang berinspirasikan irama rakyat menyentuh realiti bakal pengantin masa kini.

Menurut Wani, lagu tersebut sinonim dengan pasangan muda masa kini yang ingin berumah tangga.

"Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus berkata…Ini memang cerita hidup ramai pasangan muda masa kini! Tengah teruja hendak berkahwin, tetapi duit masih lagi tidak cukup. Jadi apa kata kita rakam lagu ini dengan unsur ceria tetapi sarat dengan makna," kongsi Wani.

Lagu tersebut mengambil inspirasi lagu rakyat 'Cak Cekur Udang Gamit' yang diberi nafas baharu yang segar dan moden.

"Lagu ini mengingatkan saya ketika zaman kecil dulu-dulu, ‘Cak Cekur Udang Gamit’ selalu dinyanyikan oleh para ibu atau nenek kepada anak-anak kecil yang sedang membesar.

"Apabila dapat peluang merakamkan lagu yang berunsur nasihat, saya memang sangat teruja. Saya rasa penting bagi kita sebagai generasi baharu bawa balik elemen budaya kita sendiri, tetapi dengan cara yang sesuai dengan zaman sekarang," katanya lagi.

Lagu tersebut menggambarkan realiti yang dihadapi ramai pasangan muda iaitu keinginan untuk mendirikan rumah tangga tetapi terbatas dengan keadaan kewangan.

Mesej yang disampaikan bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk pemahaman dan sokongan kepada golongan muda yang sedang merancang masa depan.

"Saya percaya ramai yang akan merasa dekat dengan lirik lagu ini. Kadangkala kita tidak perlukan majlis mewah, cukup dengan cinta dan keikhlasan," kata Wani.

Muzik ceria 'Cak Cak Cekuk' membawa aura ceria tetapi penuh pengisian yang juga boleh menjadi penyuntik semangat buat mereka yang sedang membuat persiapan menuju alam perkahwinan.

"Lagu ini walaupun santai, tetapi mesejnya jelas – kalau dah sayang, kita usaha sama-sama. Tidak semestinya kena tunggu semua cukup baru boleh kahwin.

"Kita semua pernah merasa susah hendak capai impian, tetapi jangan putus asa. Saya sendiri ketika hendak memulakan kerjaya seni dahulu pun ada banyak cabaran, tetapi kita kena jalan perlahan-lahan, jangan berhenti. Macam bait lagu ini, ‘Perlahan dayung sampai hujung’ , itulah semangat yang saya hendak kongsi melalui lagu ini," tambah Wani.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI