KUALA LUMPUR, 8 November - Setelah menanti dua tahun, Siti Nordiana akhirnya menepati impiannya untuk menghasilkan karya Irama Malaysia moden menerusi single terbaru, Ahai.
Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh ini menggabungkan bunyi tradisional dan moden, sambil menyampaikan mesej kasih sayang dan nasihat dalam rumah tangga.
Menurut Siti Nordiana, lagu Ahai merupakan impian disimpannya selama dua tahun, sebagai usaha untuk mengembalikan semula keindahan dan nostalgia Irama Malaysia dalam arus muzik moden.
“Sudah lama saya berniat nak keluarkan lagu Irama Malaysia. Dulu saya pernah rakam lagu genre ini dan memang teringin nak kembalikan semula momen itu. Selepas dua tahun berfikir dan merancang, akhirnya terlaksana juga bila saya kongsi hasrat itu dengan Ikhwan dan Wan Saleh,” katanya.
Nana menjelaskan bahawa lagu Ahai mula dirancang sejak awal tahun ini dan melalui beberapa sesi rakaman sebelum dimuktamadkan.
Kolaborasi bersama dua komposer berpengalaman itu disifatkannya sebagai sangat serasi dan berjaya menghasilkan karya yang menepati cita rasa peribadinya.
“Saya memang puas hati dengan hasil mereka. Ahai memang jiwa saya kerana ada bunyi kompang, gendang dan elemen tradisional yang mengimbau zaman kita membesar dulu, tetapi dengan gaya moden,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Ahai bukan sekadar karya hiburan, sebaliknya satu usaha kecil untuk memartabatkan semula muzik Irama Malaysia agar terus relevan dalam kalangan generasi muda.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Irama Malaysia dan pernah mengeluarkan album genre ini berjudul Firuz pada tahun 2003. Apabila peminat sering meminta saya menyanyikan lagu-lagu Irama Malaysia ketika persembahan, saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menghidupkan kembali genre ini dengan pendekatan lebih segar,” katanya.
Dari segi konsep dan melodi, Ahai tampil berbeza daripada lagu-lagu Siti Nordiana sebelum ini yang banyak berunsur pop balada dan pop rock.
Lagu berkenaan dibina dengan elemen tradisional seperti gendang dan kompang, menjadikan iramanya lebih asli namun tetap mesra pendengar masa kini.
Rakaman lagu Ahai juga memberi cabaran baharu buat Nana, terutamanya dalam aspek kawalan emosi, penghayatan dan karakter vokal.
“Lagu ini memberi nasihat kepada pasangan yang baru berkahwin. Jadi saya perlu bermain dengan emosi ada masa lembut, ada masa tegas, tetapi dalam nada gurauan. Rentaknya pun laju, jadi saya perlu seimbangkan tenaga dengan kelembutan,” katanya.
Selain melodi dan vokal yang menarik, Ahai turut membawa mesej bermakna tentang kasih sayang, tanggungjawab dan kejujuran dalam rumah tangga.
“Liriknya sangat indah dan bermanfaat. Ia mengingatkan kita supaya menjaga niat perkahwinan, menghormati pasangan dan tidak menganiaya orang yang kita sayang. Setiap perbuatan ada balasannya. Lagu ini boleh dijadikan panduan hidup, bukan sekadar hiburan,” tambahnya.
Video muzik rasmi Ahai telah dilancarkan pada 7 November, pukul 9 malam di saluran YouTube 1711 Music.
Istimewanya, video muzik tersebut turut menampilkan Siti Nordiana FC sebagai artis undangan, menambahkan lagi kemeriahan visual karya ini.
Lagu Ahai kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 7 November, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Seventeen Eleven Music menerusi pautan https://youtu.be/jXNGC3N6eHk