KUALA LUMPUR, 20 Februari- Meskipun sedang bertarung melawan penyakit skoliosis iaitu gejala tulang belakang melengkung, vokalis Slam, Zamani tampil bertenaga menghiburkan 1,500 penonton dalam konsert berlangsung dua jam yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Berdepan penyakit skoliosis sejak tiga tahun lalu, bukan penghalang buat Zamani memberikan persembahan bertenaga menjadikan penantian peminat berbaloi selepas konsert tersebut tertangguh dua kali akibat pandemik COVID-19.
Bagi seorang peminat yang hadir ke konsert berkenaan, Anis, ia adalah hadiah 3 dekad yang amat bermakna daripada Zamani buat semua peminat.
"Sejak COVID-19 melanda negara, ini adalah konsert pertama dapat tengok secara 'live' suasana tetap meriah mengikut SOP ditetapkan.
"Tahniah kepada Slam, memang seronok sangat. Tambah lagi bila tengok Zamani walaupun keadaan tak sihat tetapi tetap berjuang sampai habiskan masa 2 jam, 8.30 hingga 10.30 malam, hebat sangat saya rasa," katanya ketika ditemui RTM selepas konsert berkenaan.
Bagi, seorang lagi peminat, Adeeb Salleh kosert 2 jam dengan persembahan mantap umpama tidak cukup memberi kepuasan kepadanya.
"Memang tak puas sebab tidak terasa masa berlalu sudah 2 jam, persembahan bertenaga, menghiburkan, harap Slam dapat buat lagi konsert sebegini dengan skala lebih besar. Mungkin 'mentari muncul lagi' selepas berakhir COVID-19, mudah-mudahan," katanya,
Bagi Zamani, sambutan menggalakkan sepanjang konsert berlangsung membuatkan dirinya dan anggota lain Slam terharu atas sokongan diberikan.
Walaupun ada ketikanya penyanyi berusia 51 tahun itu terpaksa duduk ketika beraksi, namun, mampu bertahan selama dua jam demi peminat setia kumpulan berkenaan.
"Terima kasih atas sokongan diberikan, tak kira dalam keadaan saya 'straight' atau bengkok," katanya berseloroh.
"Moga malam ini memberi kenangan manis buat anda," katanya yang kelihatan cukup bersemangat.
Selain Zamani selaku vokalis, Slam dianggotai Shah (gitar), Lili (bass), Eddie (keyboard) dan Man (drum) mempamerkan persembahan bertenaga pada malam itu.
Tirai persembahan dibuka dengan lagu Biarkannya, diikuti Buat Seorang Kekasih dan lagu rancak, Manisnya Rindu.
Zamani berbekalkan suara lunak, mampu memukau menerusi vokal mantap sekali gus membawa penonton larut dalam emosi saat terbuai dengan dendangan asyik pelantun lagu diberi nama Zamani Ibrahim ini.
Menerusi lagu balada hits Slam seperti Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin, Gerimis Mengundang, Jika Kau Rasa Getarannya, Suratan dan Kurnia, Zamani membuatkan dewan turut bergema dengan suara penonton yang menyanyikan lagu kesukaan ramai bersamanya.
Turut menyerikan konsert berkenaan ialah Ratu Rock, Ella yang hadir memberi sokongan dan tiga penonton lain yang diajak naik ke atas pentas untuk menyanyikan lagu Mentari Muncul Lagi bersamanya sebagai lagu penutup konsert itu.
Sepanjang dua jam beraksi, Zamani menyanyikan 17 lagu rakaman kumpulan Slam sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam bidang muzik.
Hadir sama menyaksikan konsert termasuklah tetamu Diraja iaitu Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ajai, Along dan Musa dari kumpulan Exists, Shuib, Wany Hasrita, Haiza, Radin Era dan beberapa rakan artis lain.