fb fb fb fb fb

Gavin Yap hasil naskah komedi seram, 'Geng Kubur'

Teraju utama Filem 'Geng Kubur'

KUALA LUMPUR, 21 April- Pengalaman tinggal di kawasan tanah perkuburan menjadi pencetus idea buat pengarah, Gavin Yap untuk menghasilkan filem berjudul Geng Kubur.

Naskhah yang berunsurkan komedi seram itu bakal menemui penonton di pawagan seluruh negara bermula 25 April ini.

Filem terbitan Iron Hill Media Sdn Bhd itu mengangkat tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.

Gavin Yap berkata, filem yang dihasilkan memiliki kelainan tersendiri.

"Di Malaysia ini, banyak filem seram, tetapi saya merasakan filem ini memberikan sedikit perbezaan. Filem ini juga bukan penceritaan langsung. Ia juga memiliki subjek yang cukup dalam," katanya kepada pemberita.

Sementara itu bagi Firdaus Sufiyan yang juga teraju utama filem berkenaan berkata ia mengisahkan empat sekawan yang menjadikan tanah perkuburan sebagai lokasi melepak.

"Saya memegang watak Firhan dalam cerita ini. Dia tengah mengalami banyak tekanan akibat kehilangan ibu dia 10 tahun lalu.

"Jadi akibat tekanan berkenaan dia tidak mempunyai ramai kawan-kawan hinggakan terpaksa mendapatkan khidmat terapi. Apabila dia tidak dapat mengawal perasaan, dia bawa kumpulan masuk ke hutan untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Bagi Mia Sara Shauki yang memegang watak sebagai Melati berkata, watak berkenaan mempunyai persamaan dengan wataknya ketika remaja.

"Watak Melati ini sebenarnya inspirasi daripada diri saya sendiri. Sebab semasa remaja dahulu, saya juga lasak dan berkawan dengan ramai lelaki.

"Apabila watak ini diberikan kepada saya, ia macam nostalgia sebab saya ingat pasal diri sendiri," katanya.

Filem dengan kos pembikinan sebanyak RM1.2 juta itu telah memulakan penggambaran pada September 2022 melibatkan beberapa lokasi antaranya Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.

Ia dibintangi barisan pelakon muda yang juga sebagai teraju utama filem itu, antaranya Mia Sara Shauki, Firdaus Sufiyan, Lion Chong dan Sasidaran.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI