fb fb fb fb fb

Fasa akhir ABPBH 36, DJ Sonic teruskan kempen

DJ Sonic

KUALA LUMPUR, 24 September- Berbaki kurang seminggu lagi sebelum undian Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 menutup undian secara dalam talian.

DJ Sonic atau pemilik nama Awang Suffian Awang Hussein, 45 yang tercalon dalam kategori Penyampai Radio Popular edisi kali ini turut mengambil peluang keemasan dengan meneruskan kempen undian yang bakal berakhir pada 30 September ini.

Dua tahun berturut-turut berada dalam kategori berkenaan, anak kelahiran Kapit, Sarawak itu menyifatkan ianya satu peluang cukup indah sepanjang berkecimpung dalam dunia penyiaran.

Jejaka yang sinonim dengan kepetahan menuturkan bicara dengan pantas itu akan terus kekal positif dan memastikan momentum tenaganya berada pada tahap terbaik dalam setiap penampilan dalam setiap acara.

“Sebenarnya tidak mudah untuk saya berdiri sama tinggi dengan semua nama-nama besar dalam pencalonan ABPBH 36. Namun semua kekuatan ini hadir dengan adanya semangat daripada semua pendengar dan penyokong saya.

“Kewujudan mereka ini tidak dapat dilihat, namun saya tahu mereka ini sangat dekat dengan saya. Saya bersyukur ada insan-insan di belakang yang sentiasa menyokong dalam karier ini,” katanya ketika dihubungi.

Lebih dua dekad dalam industri, ia adalah bukti kesungguhan DJ Sonic sebagai penyampai stesen radio RTM sekali gus memberi gambaran bahawa radio kerajaan juga mempunyai pendengar tersendiri.

Mungkin ramai yang tidak tahu jejaka yang memiliki personaliti tersendiri itu juga pernah menolak tawaran kenaikan pangkat dan juga beberapa tawaran lain hanya kerana untuk terus menjadi penyampai radio stesen kerajaan.

“Saya selesa dan bangga sebagai seorang penyampai radio kerajaan. Ini juga menjadikan saya sebagai seseorang yang berbeza dengan penyampai-penyampai yang lain.

“Saya juga suka menggunakan bahasa yang tepat. Contohnya apabila mengacarakan program-program di luar atau undangan di tempat lain, saya dapati penonton, pengunjung dan pendengar juga suka dengan setiap apa yang disampaikan.

“Jadi saya melihat ini sebagai sesuatu yang perlu dilakukan dałam penyampaian secara tidak langsung ia juga menjadi keunikan kepada saya,” katanya lagi.

2409 DJ SONIC KEMPEN DJ Sonic ketika mengacarakan majlis di RTM

DJ Sonic yang juga mengendalikan segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama dua lagi penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai berpendapat segmen berkenaan semakin melonjakkan namanya sebagai penyampai radio.

“Terima kasih juga kepada rakan penyampai saya, DJ Nazri dan DJ Dyya. Kedua-dua mereka ini juga antara yang turut membantu saya dalam penyampaian berkesan.

“Tidak dilupakan juga kepada pengurusan RTM yang tidak dapat saya sebutkan di sini yang turut menjadi tulang belakang dan semangat saya sebagai wakil tunggal RTM pada ABPBH kali ini,” katanya.

Ketika berbicara mengenai kemenangan dalam kategori yang dicalonkan, DJ Sonic hanya melakukan yang terbaik dan selebihnya bergantung kepada undian daripada peminat.

“Alhamdulillah berada dalam kelompok 10 popular dalam kategori ini juga sesuatu yang indah dan hebat buat saya. Apalagi baru-baru ini saya juga diumumkan berada dalam kelompok 36 yang mempunyai undian tertinggi.

“Jadi itu lagi memberikan saya semangat. Sekiranya berpeluang untuk menang, saya akan raikan dengan gembira dan jika sebaliknya saya akan tetap berusaha ke arah yang lebih baik,” kata DJ Sonic.

Sebelum ini jejaka kelulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak itu juga pernah tercalon dalam anugerah berkenaan pada ABPBH 24 iaitu pada tahun 2011 untuk kategori sama dan tahun lepas dia berada dalam senarai lima popular.

Pada pencalonan kali ini DJ Sonic kini berada dalam kelompok 10 popular dan undian boleh dilakukan menerusi laman web ABPBH 36 di https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.

Malam kemuncak acara ABPBP 36 mengangkat tema ‘Teguh’ selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ akan dikemudikan tiga pengacara iaitu Didie Alias, Hanif Hamzah dan Riena Diana di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Teruskan sokongan anda buat calon tunggal RTM dan semua calon pada edisi kali ini, sama-sama kita nantikan keputusannya pada 11 Oktober depan pukul 9.00 malam.

 

BERITA BERKAITAN

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI