KUALA LUMPUR, 17 September- DJ Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein, 45, tidak menyangka bahawa namanya sekali lagi berada dałam kelompok 10 Penyampai Radio Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 36.
Anak kelahiran Kapit, Sarawak itu juga menyatakan perkhabaran gembira itu hanya diketahui setelah menerima kiriman daripada sahabatnya yang menghantar pautan mengenai pencalonan tersebut.
“Sebenarnya saya tidak menjangkakan pun untuk tahun ini akan berada dalam kelompok 10 popular. Tahun lepas merupakan satu rahmat besar buat saya apabila layak ke kumpulan lima popular.
“Sekarang ini saya hanya melakukan yang terbaik. Menang atau kalah tidak menjadi masalah kepada saya. Ini merupakan satu persaingan yang sihat dalam kalangan industri seni,” katanya ketika dihubungi RTM.
DJ Sonic yang pernah tercalon dalam kategori sama pada ABPBH 24 iaitu pada tahun 2011 menyifatkan untuk berada dalam kelompok berkenaan tidak mudah memandangkan nama calon untuk kategori itu mempunyai kelebihan masing-masing.
“Saya cuma menggandakan usaha untuk bersaing dengan sihat. Apapun dua tahun ini mungkin rezeki saya, jadi saya tetap usaha meneruskan kempen sempena ABPBH 36 ini,” kongsinya gembira.
Foto Instagram Dj Sonic
Jejaka yang kini bertanggungjawab mengendalikan segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama dua lagi penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai berasa bangga kerana menjadi wakil tunggal RTM dalam anugerah berprestij itu.
“RTM telah memberikan platform kepada saya untuk mengetengahkan bakat, jadi inilah peluang yang saya gunakan untuk terus menyampaikan informasi dan mendekati para peminat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, pengacara dan penyampai radio itu turut menerima undangan daripada pelbagai syarikat dan orang perseorangan untuk mengemudikan pelbagai acara.
“Sebab itu kalau ada orang yang pertama kali bekerjasama dengan saya tidak serik untuk memanggil saya untuk kali seterusnya. Sebab ini adalah minat dan kesukaan saya,” kata jejaka kelulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak itu.
Sama seperti individu lain, DJ Sonic menyifatkan 25 tahun karier yang dibina mepunyai pasang dan surutnya namun ia bukan penghalang untuk terus positif dalam mengemudi kerier di sebuah stesen kerajaan.
Berada sebaris dengan nama besar dalam kategori berkenaan, memberi isyarat bahawa stesen radio RTM juga memiliki pendengar tersendiri.
“Saya berterima kasih kepada semua keluarga, pengurusan tertinggi RTM yang banyak menolak saya ke atas dan memberikan platform ini. Tidak dilupakan semua penyokong dan pendengar yang senantiasa menantikan suara saya.
“Tidak lupa juga buat semua peminat dan penyokong, boleh terus mengundi saya di laman web ABPBH 36 https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular bagi kategori Penyampai Radio Popular," kata DJ Sonic sambil mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua peminat dan pendengar NasionalFM.
BERITA BERKAITAN