KUALA LUMPUR, 7 Jun- "Ini adalah peluang terakhir untuk saya, memandangkan banyak bakat baharu dalam industri penyiaran yang semakin kompetitif termasuk barisan penyampai yang sudah popular dan “ada nama”.
Itu reaksi DJ radio Nasional FM, Sonic Hussein yang tercalon dalam senarai 20 calon awal kategori Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.
DJ Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein, 44, berasa amat terharu dan bersyukur kerana mendapat sokongan banyak pihak, sama ada khalayak pendengar juga warga kerja Radio Televisyen Malaysia (RTM), khusunya kakitangan stesen Nasional FM dalam memberi sokongan pelbagai cara untuk melayakkan dirinya tersenarai dalam kelompok lima terbaik kategori itu.
Mengimbau lebih sedekad menjadi penyampai radio, wakil tunggal RTM itu amat bersyukur atas pencalonan untuk anugerah berprestij itu. Kali terakhir anak kelahiran Kapit, Sarawak itu tercalon dalam kategori tersebut adalah pada edisi ke-24 ABPBH iaitu pada tahun 2011.
"Saya merasakan inilah momen saya bagi pencalonan ini. Apa pun saya tetap akan memberikan yang terbaik," balas DJ Sonic yang kini bertanggungjawab mengendalikan segmen Nasional Pagi, 3 Suara, bersama dua lagi penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai; ketika ditanya wartawan RTM mengenai harapannya atas pencalonan ABPBH itu.
Katanya, untuk berada sebaris dengan nama besar dalam kategori dipertandingkan, ia seakan memberi isyarat bahawa stesen radio RTM juga punya pendengar tersendiri. DJ Sonic amat yakin dengan pilihannya untuk bekerja di stesen radio kerajaan.
"Saya terus bekerja keras untuk lebih dikenali. Walaupun bekerja dalam stesen radio milik kerajaan, saya juga boleh dikenali," katanya.
Ketika mengulas berkenaan peluang sekiranya berada dalam kelompok lima terbaik, "melihat senarai calon dalam kategori itu, luar biasa untuk berada dalam senarai," katanya sambil tersenyum.
Namun, "mungkin perkara itu bukanlah mustahil kerana sokongan yang diberikan kepada saya cukup luar biasa, selain promosi yang dilakukan oleh semua rakan penyampai stesen radio RTM."
Menyingkap cerita pada awal kemunculannya dalam industri seni, ianya suatu perjalanan yang sukar, namun tetap akan dikenang dan menjadi penguat untuk terus memberikan yang terbaik sekali gus melakar kejayaan yang gemilang untuk dirinya.
(Sonic ketika mengacarakan Selamat Pagi Malaysia (SPM Plus)
"Saya pernah tidur di kerusi Waterfront Kuching kerana saya perlu mengemudikan sebuah acara di sana. Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah dihalau dari rumah sewa dan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk makan. Namun itu adalah momen yang saya jadikan sebagai kepuasan saya untuk terus berkarya," katanya.
Minatnya dalam bidang hiburan dan ingin mengembangkan bakatnya di RTM, membuatkan jejaka itu terus kental mengharungi cabaran yang perlu dilalui meski mengetahui banyak liku-liku kehidupan yang perlu ditempuhi, apatah lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.
Selain melakukan DJ radio di sebuah stesen kerajaan, ia bukan penghalang kepadanya untuk terus menerima jemputan daripada pelbagai syarikat dan orang perseorangan untuk mengemudikan pelbagai acara.
Mungkin ramai yang tidak tahu, jejaka kelulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak itu, "pernah menerima bayaran yang agak mengejutkan. Kebanyakannya akan menganggap jumlah yang diterima itu besar, namun saya hanya menerima RM20 untuk kerja yang saya lakukan pada ketika itu."
Tidak melatah atas pengalaman cukup bermakna itu, sekali gus mendewasakan kehidupannya, DJ Sonic kini lebih matang dan bijak dalam melakukan sesuatu tugas dan percaya setiap rezeki sudah pun tertulis oleh Yang Maha Esa.
“Saya juga amat berterima kasih dengan rakan artis, Fazura kerana mempercayai bakat saya,” kata DJ Sonic atas kepercayaan selebriti serta usahawan terkenal itu yang sering mengundangnya untuk mengemudi kebanyakan acara yang dianjurkan.
“Peluang tersebut seakan membuka ruang dan peluang kepada saya untuk terus dikenali dalam industri seni.”
Pengacara dan penyampai radio itu turut bersyukur dengan bakat yang dimilikinya selain mendapat sokongan daripada peminatnya yang tersendiri.
"Bagi yang menyokong saya boleh terus undi saya di laman web ABPBH https://www.abpbh.com.my/undian bagi kategori Penyampai Radio Popular," kata DJ Sonic sambil mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua.