KUALA LUMPUR, 19 September- Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu, begitulah peribahasa yang sesuai digambarkan buat calon tunggal yang mewakili Radio Television Malaysia (RTM) DJ Sonic di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 36.
Pemilik nama Awang Suffian Awang Hussein, 45, itu mengakui teruja apabila diumumkan sebagai antara calon ABPBH 36 yang menerima undian tertinggi sekali gus memberi gambaran anak kelahiran Kapit, Sarawak itu punya peluang cerah untuk menggondol trofi pada malam kemuncak anugerah berkenaan.
“Alhamdulillah sekali lagi saya bersyukur dengan pengumuman di luar jangka ini. Memang pada awalnya saya menerima undangan untuk hadir ke Majlis Pra-Kemuncak ABPBH 36.
“Tetapi saya tidak menjangkakan bahawa dalam ramai-ramai calon yang tersenarai, saya dalam 36 calon yang memiliki undian tertinggi. Sebab sebelum ini, hanya tercalon dalam kelompok 20 kategori Penyampai Radio Popular, kemudian 10 popular dan kini dalam senarai ini,” katanya terharu.
Tidak mudah melatah dengan pengumuman berkenaan jejaka yang sentiasa menjaga penampilan itu berpendapat masih banyak kerja dan usaha perlu dilakukan.
Bagi DJ Sonic, sekiranya menang ia adalah satu rahmat dan pencapaian peribadi buat dirinya dan sekiranya tidak menerima apa-apa trofi perjalanan karier seninya tetap akan diteruskan.
“Suatu ketika dulu, saya sendiri rasa malu untuk menghadiri sesuatu majlis kerana merasakan diri saya ini masih kerdil tetapi setelah melalui fasa-fasa tertentu saya meletakkan diri saya sebaris dengan mereka.
“Itu juga menambahkan lagi keyakinan untuk bersaing dengan mereka. Apalagi saya masih ingat pesanan arwah ayah, yang mahu saya terus berusaha,” katanya sedikit sebak.
DJ Sonic ketika mengacarakan sebuah majlis
DJ Sonic yang mengendalikan segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama dua lagi penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai turut menganggap segmen berkenaan memberikan impak dalam karier seninya.
“Saya amat senang dengan setiap pendengar yang sentiasa menantikan penampilan kami bertiga di corong radio. Ini juga sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk terus dekat dengan pendengar dan peminat.
“Tidak dilupakan juga kepada gandingan saya Dyya dan Nazri termasuk rakan-rakan yang tidak mampu saya lafazkan ketika ini dan juga semua pengurusan RTM yang selalu menyokong saya,” kata DJ Sonic pada Majlis Pra-Kemuncak ABPBH 36 di ibu negara.
Sebelum ini DJ Sonic juga pernah tercalon dalam anugerah berkenaan pada ABPBH 24 iaitu pada tahun 2011 untuk kategori sama dan tahun lepas dia berjaya membolosi dalam senarai lima terbaik.
Pada pencalonan ABPBH 36 DJ Sonic kini berada dalam kelompok 10 popular dan undian boleh dilakukan di laman web ABPBH 36 https://www.abpbh.com.my/undian/main/penyampai-radio-popular.
Malam kemuncak acara berkenaan akan dikemudikan tiga pengacara iaitu Didie Alias, Hanif Hamzah dan Riena Diana di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Apakah akan ada rezeki buat pembawa nama DJ Sonic? Teruskan sokongan anda buat calon tunggal RTM dan sama-sama kita nantikan keputusannya pada 11 Oktober depan.
BERITA BERKAITAN