KUALA LUMPUR, 23 September - Pelakon terkenal Korea, Lee Joon Gi, 42 tahun, memberikan persembahan istimewa kepada peminat Malaysia dengan menjadikan sesi bertemu peminatnya seperti sebuah persembahan konsert.
Joon Gi memukau ribuan peminat dengan menyanyikan 16 buah lagu, termasuk lagu klasik Melayu "Rasa Sayang" sambil menari dengan penuh bertenaga.
Dia juga memilih sendiri seleksi lagu untuk dinyanyikan walaupun dirinya bukan seorang penyanyi, terutama lagu runut bunyi drama yang dilakonkannya sendiri.
Antaranya 'For You' dari drama terkenal 'Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo dan 'In My Heart' drama 'Flower Of Evil'.
"Saya ingin mengingatkan kepada semua yang saya bukan seorang penyanyi yang hebat, persembahan saya khas untuk menghiburkan peminat. Lagu yang saya pilih malam ini (Ahad) adalah kegemaran anda semua," katanya pada "2024 Lee Joon Gi Asia Tour (JOONGI'S DAY: FESTIVAL) di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Joon Gi turut meluahkan rasa terkejut dan terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat Malaysia dan berjanji akan kembali dengan persembahan yang lebih menarik pada masa hadapan.
Persembahan selama 3 jam itu turut menyelitkan sesi berinteraksi bersama peminat menerusi aktiviti merakamkan lima swafoto yang dipilih sendiri oleh peminat serta memberikan aksi hebat lakonannya di atas pentas.
Walaupun ini kali pertama pelakon terkenal itu membuat kemunculan di Malaysia namun persembahannya tidak mengecewakan.
Kelincahannya menyanyi sambil menari di atas pentas pastinya memukau semua peminat yang hadir.