KUALA LUMPUR, 10 November – Seramai 9,000 peminat membanjiri Bukit Jalil Sabtu lalu bagi menyaksikan konsert 'Sheila Majid 40 Years in Music'; sebuah persembahan epik yang bukan sekadar tribute, tetapi sejarah hidup dan seni penyanyi legenda nusantara itu.
Menurut penyanyi, Datuk Sheila Majid, konsert berkenaan sebagai penghargaan kepada semua insan hebat yang menjadi tulang belakang perjalanan seninya.
“'Sheila Majid: 40 Years in Music' adalah penghargaan kepada semua insan hebat di belakang saya serta menjadi tanda bermakna perjalanan karier yang masih diterima baik oleh generasi kini,” katanya di sini.
Sheila mengulit penonton dengan pesona dan vokal yang tidak pernah pudar.
Dengan tema “keraian penuh warna-warni”, konsert tersebut meraikan empat dekad perjalanan Sheila dalam industri muzik.
Selama lebih dua jam, ratu jazz Malaysia itu membawa penonton menelusuri perjalanan kariernya melalui rangkaian lagu-lagu ikonik termasuk Sinaran, Legenda, Antara Anyer dan Jakarta, Dia, dan Warna.
Setiap dendangan disambut dengan laungan sorakan dan nyanyian bersama ribuan peminat yang setia mengiringinya sejak era 1980-an.
Lebih istimewa, konsert berkenaan turut menampilkan sentuhan tenaga kreatif yang telah lama menjadi nadi kekuatan Sheila.
Pengarah muziknya sejak 1987, Mac Chew, menampilkan susunan muzik segar bersama kolaborator setia, Jenny Chin, yang menambah harmoni dan emosi dalam persembahan.
Konsert itu turut digerakkan oleh pengarah berpengalaman, Jennifer Thompson, yang memastikan pentas tampil gah dan mengagumkan.
Memeriahkan konsert itu, pereka pentas dan pencahayaan terkenal, Steve Ho, menampilkan rekaan moden dengan cahaya memukau yang menyerlahkan keindahan dan kemewahan produksi.