KUALA LUMPUR, 8 November -Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, terbuka untuk berkolaborasi dengan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada masa depan, selepas duet spontan mereka di Festival Muzik Pestapora 2025 di Jakarta, Indonesia pada September lepas, tular di media sosial.
Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 36, berkata sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, pemilihan lagu perlu dibuat dengan teliti agar benar-benar sesuai dengan kedua-dua mereka.
“(Masih) belum ada apa-apa perancangan. Tapi buat saya, lagu itu harus betul-betul punya makna dan ‘nyawa’ yang cocok untuk dua artis. Jadi, tidak boleh asal pilih lagu. Kalau suatu hari nanti ada kolaborasi, saya ingin lagunya benar-benar tepat,” katanya pada sidang media Afgan Retrospektif Showcase, di sini semalam.
Mengakui dirinya peminat Siti Nurhaliza, pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu berkata kejadian di festival berkenaan sebenarnya tidak dirancang, sebaliknya berlaku secara spontan ketika menonton persembahan penyanyi nombor satu Malaysia tersebut.
“Waktu itu saya baru selesai membuat persembahan dengan Raisa. Saya nampak dalam jadual ada Kak Siti (Siti Nurhaliza), jadi saya bilang, ‘wah, saya mau nonton’. Sebelum menonton, saya sempat ke belakang pentas, bersalaman dan ucap ‘good luck’ pada Kak Siti,” katanya.
“Ketika saya menonton di depan, tiba-tiba waktu beliau menyanyikan Bukan Cinta Biasa, Kak Siti datang ke arah saya dan berkata, ‘Afgan, lagu kita sama judulnya. You wanna sing?’ Saya terkejut tapi naik juga dan nyanyi sedikit. Untungnya saya pernah bawakan lagu itu di Pulau Pinang, jadi masih ingat,” sambung beliau.
Dalam persembahan itu, Siti Nurhaliza menyanyikan kira-kira 11 lagu termasuk Betapa Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Wajah Kekasih dan Bukan Cinta Biasa, yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Afgan juga mengagumi kemampuan Siti Nurhaliza menggabungkan elemen tradisional dan pop dengan begitu baik.
Bakal menemui peminat menerusi Afgan Retrospektif Showcase di Zepp Kuala Lumpur, di sini pada 5 Dis ini, beliau berkata kira-kira 25 lagu akan dipersembahkan dalam acara berdurasi lebih dua jam itu, termasuk 10 karya daripada album terbaharunya Retrospektif.
“Showcase ini sangat istimewa kerana ia akan menjadi kali pertama saya mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif. Di Indonesia sendiri pun belum lagi.
“Malaysia akan menjadi tempat pertama untuk menyaksikan saya mempersembahkan lagu-lagu baharu ini secara langsung. Setiap kali saya tampil di sini, peminat Malaysia antara yang paling seru dan menyenangkan. Jadi saya gembira menjadikan Malaysia lokasi premiere untuk album ini,” katanya
Afgan yang pernah mengadakan konsert berskala besar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berkata pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan kali ini kerana beliau mahukan suasana tidak formal dan lebih dekat dengan peminat.
“Saya mahu sesuatu yang lebih tidak formal, lebih intim. Biasanya persembahan saya berskala besar dengan produksi lengkap termasuk orkestra, tetapi untuk album kali ini saya mahukan suasana seperti jam session,” katanya yang bersyukur tiket jualan menerima sambutan luar biasa daripada peminat.
Pelantun lagu Padamu Aku Bersujud itu menambah suasana santai memberi peluang untuknya berinteraksi dengan penonton dan berkongsi kisah di sebalik setiap lagu dalam suasana lebih kasual dan tenang.
“Pentasnya pun akan berkonsep seolah-olah saya sedang jamming bersama-sama teman-teman di ruang tamu. Saya mahu ia terasa seperti di rumah,”ujarnya. - BERNAMA