KLEBANG, 1 Januari - Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memulakan langkah Tahun 2026 dengan Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka.
Anugerah berkenaan merupakan penghargaan atas sumbangannya memartabatkan seni budaya Melayu, sekali gus memperkasa identiti budaya Melaka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pelantun lagu Nirmala itu menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai suntikan semangat untuk terus berkarya dan menyumbang kepada pemerkasaan seni budaya serta pelancongan negeri.
"Apabila disebut Tahun Melawat Melaka, saya memang sudah banyak kali datang ke sini untuk membuat persembahan.
"Sekiranya dijemput lagi, InsyaAllah saya akan hadir, selaras dengan jadual saya, untuk terus mempromosikan Melaka dan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Ikon Seni dan Budaya Melaka pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 dan Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2.0 di sini.
Sementara itu, pencipta lagu tema Tahun Melawat Melaka berjudul Senandung Anak Melaka, Mohd Fauzi Mohammad, dinobatkan sebagai Tokoh Pemerkasaan Seni Tradisional Melaka.
"Syukur Alhamdulillah. Terima kasih kepada rakan-rakan saya yang sama-sama mempromosikan lagu Senandung Anak Melaka, terutamanya sahabat saya Abang Siso Kopratasa selaku penulis lirik, pasukan Produksi JS, Abg Jalal, dan penyanyi Yasser Fikri.
"Tanpa mereka, lagu ini tidak akan berjaya seperti sekarang. Terima kasih juga kepada artis-artis yang menjayakan persembahan sepanjang berada di Melaka," katanya.
Sementara itu, Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing, dianugerahkan Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka atas usaha mempromosikan negeri itu di peringkat global.
Penyampaian anugerah itu merupakan penghargaan terhadap jasa tokoh-tokoh berkenaan dalam mempromosikan Melaka bermula Tahun Melawat Melaka 2024.
Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
