KUALA LUMPUR, 15 Februari- Penyanyi popular negara Shila Amzah sekali lagi membanggakan negara apabila menyanyikan lagu tradisional Kelantan Ewa Bule (Wau Bulan) di China.
Shila berpeluang berduet bersama penyanyi tersohor China, Sun Nan yang pernah menjadi juri Asian Wave 2012 dengan menyanyikan lagu Ewa Bule dan Wu Ming De Ren secara medley.
Menurut Shila persembahan iberkenaan bagi memenuhi undangan Beijing TV, salah satu stesen televisyen terbesar di negara tembok besar itu untuk mempromosikan tempat bersejarah di China.
"Orang China sebenarnya sangat menerima baik budaya negara luar, saya sangat teruja dengan peluang seperti ini. Alhamdulillah nyanyian ini diterima baik dan saya pun tidak sangka.
"Saya juga gementar sebab kita cuba untuk menggabungkan lagu tempatan dengan lagu Mandarin. Alhamdulillah nyanyian ini diterima baik dan saya pun tidak sangka, syukur alhamdulillah," katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu Shila turut terharu dengan sokongan dan penerimaan peminat muzik dari kedua-dua negara.
Menurut Shila sekiranya diberi peluang penyanyi yang fasih berbahasa Mandarin itu juga berhasrat untuk memperkenalkan tarian tradisional Melayu di China.