KUCHING, 16 Julai- Enam peserta akan berentap dalam Debaran Bintang Kecil Zon Sarawak pada 21 Julai ini di Auditorium P.Ramlee RTM Kuching.
Ditemui pada sesi fotografi, rata-rata peserta cilik ini menyatakan keterujaan untuk bertanding pada pertandingan kali ini.
Bagi Fernandez Vianni Upplie yang kali kedua menyertai pertandingan tersebut berharap dapat memberikan persembahan yang terbaik sekali gus berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir.
Manakala bagi Ell Qaseh Abdullah dorongan keluarga dan nenek kesayangannya menjadi pembakar semangat untuk memasuki pertandingan itu buat kali pertama dan berharap membawa pulang kemenangan.
Debaran Bintang Kecil Zon Sarawak pada 21 Julai akan bersiaran langsung di TV 2 bermula pukul 9 malam.
Antara artis yang akan ditampilkan pada malam Debaran Bintang Kecil Zon Sarawak Baby Shima, Faris Malek, dan Juara Sapa Junior 2024, Fazlina Fariz.
Tiga peserta terbaik akan mewakili Zon Sarawak ke Debaran Separuh Akhir Bintang Kecil September depan.