fb fb fb fb fb

BWF batalkan kejohanan di Rusia dan Belarus

(Gambar Hiasan)

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah memutuskan untuk membatalkan semua kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Rusia dan Belarus sehingga diberitahu kelak berikutan operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.

Badan dunia itu, melalui satu kenyataan, turut mengumumkan bahawa bendera kebangsaan Rusia dan Belarus tidak boleh dipamerkan dan lagu kebangsaan mereka tidak dimainkan di mana-mana kejohanan yang mendapat kebenaran BWF.

“BWF menyampaikan rasa simpati kepada Persatuan Badminton Ukraine dan akan memberi sokongan khas kepada komuniti badminton Ukraine.

“BWF akan terus memantau keadaan dengan teliti dan akan secara proaktif berunding dengan rakan kongsi pergerakan sukan antarabangsa untuk membincangkan pilihan lain yang berpotensi terhadap kerajaan Rusia dan Belarus,” kata kenyataan itu.

Badan induk badminton dunia itu mengeluarkan kenyataan hari ini selepas mesyuarat majlis mereka, mengutuk pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine dan menyatakan kebimbangan terhadap orang awam yang terjejas dalam konflik itu.

Kenyataan itu berkata BWF sangat percaya bahawa sebarang konflik harus diselesaikan tanpa menggunakan sebarang bentuk keganasan dan menyatakan kepercayaan terhadap sumbangan pergerakan sukan ke arah keamanan dan perpaduan antara semua orang.

(Kenyataan daripada BWF)

Serangan Rusia ke atas Ukraine memasuki hari kelima selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan campur tangan tentera Khamis lalu, beberapa hari selepas mengiktiraf dua enklaf yang dikuasai pemisah di timur Ukraine.

Campur tangan itu disambut oleh bantahan daripada masyarakat antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat melaksanakan pelbagai sekatan ekonomi terhadap Kremlin.

Media Baharu