fb fb fb fb fb

Bintang Klasik 2025: Enam finalis berentap esok

Poster Bintang Klasik 2025

KUALA LUMPUR, 26 September - Malam Kemuncak Bintang Klasik 2025 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal berlangsung esok, menampilkan enam finalis yang akan mempersembahkan irama klasik tanah air dalam format unik, gabungan persembahan solo dan segmen ‘battle’.

Pengurus Radio Klasik, Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa berkata, pertandingan dwitahunan itu bukan sekadar pentas bakat, tetapi usaha menyemarakkan kembali keindahan lagu klasik di hati generasi baharu.

“Setiap peserta akan mempersembahkan dua lagu, satu secara solo dengan pilihan lagu jarang kedengaran di radio, manakala segmen kedua pula menyaksikan mereka beradu suara dalam bentuk battle untuk memikat hati juri.

"Inilah kelainan yang cuba kita tonjolkan pada edisi kali ini,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Bertemakan “Malam Irama Bintang”, acara itu turut menampilkan busana berkonsepkan 'Classic Red & Gold' dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Klasik dan RTMKlik, bermula 9 malam.

Malam gemilang itu dijangka lebih meriah dengan persembahan istimewa artis tersohor seperti Liza Aziz, Ramlah Ram, J. Sham serta kugiran popular Masdo, sekali gus menjanjikan pengalaman hiburan penuh warna-warni.

2609 SPM BINTANG KLASIKPengurus Radio Klasik, Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE