LOS ANGELES, 3 Februari- Beyonce memenangi anugerah utama di Grammy 2025 apabila albumnya Cowboy Carter, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Album Terbaik.
Kejayaan itu menandakan kemenangan pertamanya dalam kategori tersebut sepanjang kariernya.
Penyanyi superstar itu mengalahkan pencabar hebat seperti Taylor Swift dan Billie Eilish, untuk membawa pulang trofi yang diidamkan, meski telah memegang rekod sebagai artis paling banyak raih anugerah Grammy dalam sejarah.
“Saya sangat bersyukur dan berbesar hati. Perjalanan ini mengambil masa yang panjang,” kata Beyonce di atas pentas bersama anaknya, Blue Ivy Carter.
Ini merupakan kali kelima Beyonce dicalonkan dalam kategori album terbaik.
Secara keseluruhan, beliau meraih tiga trofi Grammy tahun ini, menjadikan jumlah koleksi anugerahnya sebanyak 35 trofi sepanjang kariernya.
Sementara itu, Kendrick Lamar memenangi Anugerah Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Not Like Us.
Lamar yang menyapu bersih lima kategori yang dicalonkan, mendedikasikan kemenangannya kepada Los Angeles, bandar yang menjadi tuan rumah untuk majlis anugerah berprestij itu.
“Ini adalah tempat asal saya, yang telah menyokong saya sejak kecil. Kita akan bangkitkan kembali bandar ini," kata Lamar.
Sementara itu, penyanyi Pink Pony Club, Chappell Roan, diumum sebagai Artis Baru Terbaik.
Dalam ucapannya, beliau menyeru syarikat rakaman agar memberikan gaji yang setimpal dan manfaat kesihatan kepada pemuzik.
Taylor Swift, yang sebelum ini memegang rekod empat kemenangan Album Terbaik dan dicalonkan tahun ini menerusi The Tortured Poets Department, gagal meraih sebarang trofi dalam kategori tersebut.
Namun, beliau naik ke pentas bagi menyampaikan Anugerah Album Country Terbaik, yang dimenangi Beyonce.- REUTERS