WHO bawa agenda kecemasan wabak Ebola dan Hantavirus dalam mesyuarat tahunan

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyampaikan ucapan pada pembukaan Perhimpunan WHO ke-79 di Geneva. Foto AFP

GENEVA, 18 Mei – Negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkumpul di Geneva pada Isnin bagi menghadiri mesyuarat tahunan badan itu di tengah-tengah kebimbangan terhadap wabak maut Hantavirus dan Ebola, selain ketidaktentuan susulan pengumuman pengunduran Amerika Syarikat dan Argentina daripada organisasi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wabak Hantavirus tidak tersenarai rasmi tetapi dijangka menjadi topik utama bersama wabak Ebola.
  • WHO isytihar darurat kesihatan awam antarabangsa untuk Ebola di DRC; strain itu meragut lebih 80 nyawa dan tiada vaksin.
  • Kes Ebola disahkan di Goma menimbulkan kebimbangan penularan lebih meluas, terutamanya kawasan dikuasai kumpulan militia.
  • Africa CDC lapor 88 kematian dan 336 kes disyaki Hantavirus; WHO bimbang skala sebenar dan penyebaran geografi masih tidak pasti.

Wabak Hantavirus yang mencetuskan perhatian global tidak tersenarai secara rasmi dalam agenda mesyuarat, namun isu berkenaan dijangka menjadi antara topik utama perbincangan bersama wabak Ebola terbaharu di Republik Demokratik Congo.

Perhimpunan tahunan badan pembuat keputusan WHO itu berlangsung sehingga Sabtu ini selepas organisasi berkenaan melalui tahun yang mencabar.

Terdahulu WHO pada Ahad mengisytiharkan darurat kesihatan awam antarabangsa susulan penularan strain Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) yang telah meragut lebih 80 nyawa dan ketika ini masih belum mempunyai vaksin.

Kebimbangan terhadap kemungkinan penularan lebih luas semakin meningkat selepas sebuah makmal pada Ahad mengesahkan satu kes di bandar utama timur DRC, Goma, yang kini dikuasai kumpulan militia M23 yang disokong Rwanda.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dalam kemas kini pada Sabtu memaklumkan sebanyak 88 kematian dan 336 kes disyaki membabitkan demam berdarah yang sangat mudah berjangkit itu telah direkodkan setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus melahirkan kebimbangan serius susulan peningkatan jumlah kes dilaporkan.

“Saya memutuskan bahawa wabak ini merupakan darurat kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi platform X, sambil menegaskan situasi itu bagaimanapun masih belum memenuhi kriteria sebagai pandemik global.

Setakat ini, WHO yang berpangkalan di Geneva mengisytiharkan tahap amaran kedua tertinggi, dengan pandemik dianggap tahap paling tinggi.

Badan kesihatan dunia itu turut memberi amaran bahawa skala sebenar penularan wabak berkenaan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

“Terdapat ketidaktentuan besar mengenai jumlah sebenar individu dijangkiti dan tahap penyebaran geografi wabak ini,” menurut WHO.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.