
JAKARTA, 18 Mei – Indonesia merancang mengimport kira-kira 100,000 silinder gas asli termampat (CNG) dalam tempoh tiga bulan akan datang sebagai sebahagian projek menggantikan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi 3 kilogram, sekali gus mengurangkan kebergantungan tinggi negara itu terhadap import LPG.
- Indonesia merancang mengimport kira-kira 100,000 silinder CNG dalam tiga bulan untuk ujian menggantikan tong LPG subsidi 3 kilogram.
- Kerajaan membuat tempahan awal berskala besar dengan pembekal asing kerana pengeluaran silinder memerlukan perolehan besar.
- Silinder akan menjalani ujian sebelum pelaksanaan lebih meluas; aspek keselamatan diutamakan kerana CNG beroperasi pada tekanan jauh lebih tinggi berbanding LPG.
Ketua Pengarah Minyak dan Gas Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Laode Sulaeman berkata, kerajaannya membuat tempahan awal secara besar-besaran daripada pembekal luar negara kerana pengeluaran silinder berkenaan memerlukan perolehan berskala besar.
Katanya, silinder yang diimport itu akan menjalani ujian terlebih dahulu sebelum pelaksanaan lebih meluas dilakukan.
“Kami menyasarkan ujian dapat dimulakan dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas tempahan tiba,” katanya pada Isnin.
Beliau menegaskan aspek keselamatan akan menjadi keutamaan utama dalam projek itu memandangkan CNG beroperasi pada tekanan jauh lebih tinggi berbanding LPG konvensional.
Indonesia ketika ini sedang mencari alternatif kepada LPG kerana negara itu masih mengimport sekitar tujuh juta tan LPG setiap tahun.
Keadaan itu menyebabkan kerajaan menanggung kos melebihi 130 trilion rupiah (kira-kira AS$7.9 bilion) setahun bagi pertukaran asing dan subsidi tenaga.