Trump cadang tukar nama Selat Hormuz kepada ‘Selat Trump’

Foto AFP

WASHINGTON, 3 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencadangkan nama Selat Hormuz ditukar kepada “Selat Trump”, ketika perairan strategik itu masih menjadi kawasan pertikaian susulan konflik dengan Iran.

Trump menerusi hantaran di platform Truth Social berkata, cadangan itu dibuat selepas AS mendakwa kini menguasai selat berkenaan.

“Sekarang kita sudah menguasainya di bawah AS, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada Selat Trump?” katanya.

Cadangan itu merupakan perubahan nama geografi terbaharu yang dicetuskan Trump, selepas beliau sebelum ini mencadangkan beberapa nama lokasi di Amerika Utara ditukar.

Minggu lalu, Trump mengarahkan supaya nama Tasik Ontario ditukar kepada “Tasik Amerika” ketika hubungan perdagangan antara AS dan Kanada terus tegang.

Pada Januari 2025, sejurus kembali ke White House, Trump turut menamakan semula Teluk Mexico sebagai “Teluk Amerika”.

Namun, Mexico dan Kanada tidak mengiktiraf perubahan nama berkenaan.

Sebahagian cadangan perubahan nama sebelum ini bermula sebagai kenyataan bersifat gurauan, sebelum beliau mengambil langkah untuk merealisasikannya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump berulang kali mengancam untuk menuntut kedaulatan AS ke atas Selat Hormuz, termasuk memaparkan peta yang menunjukkan laluan perairan itu sebagai “wilayah baharu AS.”

Iran pula didakwa menutup laluan strategik berkenaan yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan Trump bersama Israel pada akhir Februari.

Harga minyak kembali meningkat selepas tentera AS melancarkan serangan terbaharu berhampiran Selat Hormuz pada Selasa, sebagai tindak balas terhadap dakwaan Trump bahawa Iran melakukan usaha baharu untuk memasang periuk api di laluan perairan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.