Trump bayang perubahan kepimpinan Iran dalam rundingan mengejut

Foto AFP

PALM BEACH, 24 Mac – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa perubahan rejim sedang berlaku di Iran ketika Washington mengadakan rundingan damai dengan seorang pemimpin alternatif negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump berkata rundingan sedang dijalankan dengan seorang tokoh kanan Iran, bukan pemimpin tertinggi, dan perbincangan dijangka diteruskan melalui panggilan telefon.
  • Beliau menyatakan beberapa perkara utama dipersetujui termasuk Iran menghentikan program nuklear dan menyerahkan stok uranium diperkaya.
  • Iran menafikan rundingan dan Speaker Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan dakwaan itu cubaan memanipulasi pasaran kewangan dan minyak.

Trump berkata, pihaknya sedang berunding dengan seorang tokoh kanan Iran, namun bukan pemimpin tertinggi negara itu, Mojtaba Khamenei.

Beliau menyifatkan individu berkenaan sebagai tokoh utama yang dihormati dan dianggap sebagai pemimpin berpengaruh di Iran.

Trump memaklumkan perbincangan dijangka diteruskan melalui panggilan telefon berikutan kesukaran untuk mengatur pertemuan secara fizikal.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau menarik balik ancaman untuk mengebom loji tenaga Iran dalam tempoh terdekat, yang sebelum ini dibalas Tehran dengan ancaman tindakan balas terhadap sasaran strategik di rantau itu.

Trump turut memberi tempoh lima hari untuk rundingan berlangsung, namun memberi amaran serangan akan diteruskan sekiranya tiada hasil dicapai.

Beliau berkata terdapat beberapa perkara utama yang telah dipersetujui dalam rundingan tersebut, termasuk syarat Amerika Syarikat supaya Iran menghentikan sebarang program nuklear dan menyerahkan stok uranium diperkaya.

Trump turut mendakwa pegawai Iran sendiri menghubungi pihaknya untuk memulakan rundingan susulan tekanan daripada ancaman serangan terhadap infrastruktur tenaga, katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan pendekatan seperti di Venezuela boleh digunakan di Iran, termasuk kemungkinan melantik pemimpin yang disokong Amerika Syarikat bagi mentadbir negara itu.

Bagaimanapun, Iran menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung, dengan Speaker Parlimennya, Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan memanipulasi pasaran kewangan dan minyak.-AFP