Thailand kenakan perintah berkurung di wilayah selatan

FOTO AFP

BANGKOK, 11 Januari – Perintah berkurung dikuatkuasakan serta-merta di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand, susulan siri insiden keganasan termasuk beberapa kejadian letupan, umum tentera negara itu pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah berkurung segera di Narathiwat dikuatkuasakan, melarang keluar rumah antara 9 malam hingga 5 pagi.
  • Tentera memperketat kawalan sempadan Thailand-Malaysia dan melaksanakan langkah keselamatan awam.
  • Beberapa stesen minyak diserang, dibakar dan diletupkan; seorang pegawai polis dilaporkan cedera.

Agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan rasmi di akaun media sosial Pasukan Petugas Narathiwat melaporkan tentera Thailand akan melaksanakan beberapa langkah bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Ini termasuk memperketatkan kawalan di pusat pemeriksaan sempadan antara Thailand dan Malaysia serta menguatkuasakan perintah berkurung di Narathiwat yang melarang penduduk meninggalkan rumah antara pukul 9 malam hingga 5 pagi.

Terdahulu pada Ahad, pihak tentera mengesahkan beberapa stesen minyak di wilayah sempadan selatan Thailand menjadi sasaran letupan dan serangan bakar pada lewat Sabtu malam, menyebabkan seorang pegawai polis cedera.

Lima stesen minyak di Narathiwat adalah antara lokasi yang menjadi sasaran serangan berkenaan.

Menurut laporan media Thailand, penyerang bertindak membakar kedai serbaneka di stesen minyak berkenaan dan meletupkan bom buatan sendiri pada pam bahan api, sehingga mencetuskan kebakaran besar di premis terbabit.- BERNAMA-XINHUA