Ternakan unta teroka potensi di Indonesia

Faizal Effendi/ REUTERS

JAWA TIMUR, 18 Mei – Penternak unta di Indonesia mula meneroka peluang dengan menternak haiwan itu sebagai pilihan alternatif ternakan, dengan harapan ia dapat digunakan untuk ibadah korban bersempena dengan perayaan Aidiladha selain bersaing dengan harga daging import.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penternak meneroka unta sebagai alternatif selepas sukar bersaing dengan harga daging import di luar musim perayaan.
  • Permintaan dan sambutan orang ramai menggalakkan, namun syarat korban minimum lima tahun menyukarkan penggunaan unta muda.
  • Faizal mencadangkan peraturan jelas dan kemudahan penyembelihan khas untuk menyokong pembiakan serta penggunaan unta sebagai makanan dan korban.

Di sebuah ladang di Mojokerto, Jawa Timur, penternak berusia 45 tahun, Faizal Effendi, menguruskan kumpulan untanya yang semakin bertambah dengan memberi makan lobak merah segar serta membawa haiwan itu ke kawasan ragut.

Buat masa ini, unta masih dianggap unik di Indonesia yang lazimnya didominasi ternakan lembu, kambing dan biri-biri. Menurut Faizal, idea itu tercetus selepas penternak tempatan berdepan kesukaran bersaing dengan harga daging murah di luar musim perayaan Islam.

“Ini masih di peringkat pembelajaran dan cuba meneroka potensi. Saya mahu belajar menternak unta yang sebelum ini hanya kita lihat di zoo. Bagi penternak lembu dan kambing, ketika Aidiladha harga agak stabil, namun di luar musim perayaan harga daging menjadi sangat murah.

“Keadaan itu menyebabkan ramai penternak mengalami kerugian kerana sukar bersaing dengan daging import. Malah harga kambing dan biri-biri tahun ini juga kurang kompetitif kecuali ketika musim Aidiladha. Jadi kami cuba alternatif baharu iaitu menternak unta yang sebelum ini hanya dimiliki golongan tertentu,” katanya.

Kanak-kanak yang mengunjungi ladang itu dilihat teruja berinteraksi dengan haiwan berkenaan, memberi makan lobak merah serta mengenali spesies yang jarang ditemui di Indonesia.

Faizal berkata sambutan orang ramai terhadap ternakan unta amat menggalakkan dan permintaan juga semakin meningkat. Namun, masih terdapat cabaran dari segi peraturan sebelum unta boleh dijadikan haiwan korban secara meluas.

“Maklum balas orang ramai sangat baik dan permintaan agak tinggi. Tetapi terdapat cabaran dari segi peraturan berkaitan syarat sah korban.

“Kebanyakan unta di sini berusia sekitar tiga tahun sedangkan syarat minimum ialah lima tahun, jadi kami memerlukan masa untuk membangunkan pembiakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Faizal turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal peraturan lebih jelas bagi menyokong industri penternakan dan penyembelihan unta termasuk menyediakan lokasi khas untuk penyembelihan harian bagi tujuan makanan serta ibadah korban.

“Semalam kami mencadangkan peraturan berkaitan penyembelihan unta yang memerlukan tempat khas sama ada untuk penyembelihan harian bagi daging atau penyembelihan korban. Kemudahan seperti itu masih belum ada di Indonesia,” katanya.

Buat masa ini, unta-unta milik Faizal terus meragut di padang rumput Jawa Timur, sekali gus memberi gambaran kemungkinan hala tuju baharu industri ternakan di Indonesia.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.