Pyongyang pertingkat unit barisan hadapan hadapi ancaman perang

Kim Jong Un/ REUTERS

PYONGYANG, 18 Mei – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengarahkan pegawai tertinggi tenteranya memperkukuh unit barisan hadapan serta menjadikan sempadan selatan negara itu sebagai ‘kubu yang tidak dapat ditembusi’, menurut laporan media rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim umum 'perubahan besar' untuk memperkukuh pencegahan perang dan tingkatkan kewaspadaan terhadap 'musuh utama'
  • KCNA laporkan beliau kemukakan pelan memperkukuh unit utama dari sudut ketenteraan dan teknikal sebagai langkah pencegahan
  • Arahan percepat projek pemodenan ketenteraan untuk mentakrif semula konsep operasi dalam semua aspek peperangan moden
  • Penganalisis: pengajaran perang Rusia-Ukraine tingkatkan fokus pada dron, serangan berketepatan tinggi, peperangan elektronik dan operasi pelbagai domain termasuk angkasa serta siber

Arahan itu diberikan Kim ketika mesyuarat bersama pegawai kanan tentera pada Ahad, dengan gambar dikeluarkan KCNA menunjukkan beliau mempengerusikan pertemuan berkenaan bersama pegawai tentera berpakaian seragam rasmi penuh.

Kim berkata satu ‘perubahan besar’ akan dilaksanakan dalam usaha memperkukuh pencegahan peperangan, selain menggesa pegawai tenteranya mempertingkat kewaspadaan terhadap ‘musuh utama’ yang dipercayai merujuk kepada Korea Selatan.

Menurut KCNA, Kim turut mengemukakan pelan untuk memperkukuh unit barisan hadapan dan unit utama lain dari sudut ketenteraan serta teknikal sebagai langkah penting bagi memperkukuh pencegahan perang.

Pemerhati berpendapat rancangan tersebut dipengaruhi perkembangan perang antara Rusia dan Ukraine ketika hubungan Pyongyang dengan Seoul berada pada tahap rendah, selain Korea Utara masih tidak memberi respons terhadap tawaran dialog berulang kali daripada Korea Selatan.

Mesyuarat itu berlangsung pada hari sama pasukan bola sepak wanita Korea Utara tiba di Korea Selatan, lawatan pertama seumpamanya dalam tempoh lapan tahun yang mencetuskan harapan terhadap sedikit kelonggaran hubungan kedua-dua negara.

Kim turut membincangkan dasar pertahanan wilayah parti pemerintah yang memberi tumpuan kepada pengukuhan unit di sempadan selatan serta usaha menjadikan kawasan sempadan sebagai kubu pertahanan yang sukar ditembusi.

Beliau juga dilaporkan berkata projek pemodenan ketenteraan perlu dipercepat bagi mentakrif semula konsep operasi dalam semua aspek peperangan moden.

Penganalisis kanan Institut Korea bagi Penyatuan Nasional, Hong Min, berkata arahan itu mencerminkan pengajaran yang diperoleh daripada perang Rusia-Ukraine, yang menyaksikan Pyongyang menyokong Moscow dengan menghantar tentera.

Menurut beliau, pendekatan tersebut menggambarkan kesedaran Korea Utara terhadap peperangan dron, serangan berketepatan tinggi, peperangan elektronik serta operasi pelbagai domain yang diperhatikan dalam perang Ukraine dan konflik di Asia Barat.

Rancangan itu menunjukkan konsep operasi ketenteraan pelbagai domain yang melangkaui darat, laut dan udara termasuk melibatkan ruang bawah air, angkasa lepas, elektronik serta siber.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.