Dua pesawat bertembung semasa pertunjukan udara di AS

Dua pesawat pejuang bertembung di udara ketika satu acara pertunjukan penerbangan di negeri Idaho, AS/ AFP

LOS ANGELES, 18 Mei – Dua pesawat pejuang bertembung di udara ketika satu acara pertunjukan penerbangan di negeri Idaho, barat laut Amerika Syarikat (AS), pada Ahad, dengan semua juruterbang dilaporkan berjaya menyelamatkan diri menggunakan payung terjun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden dilaporkan berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home, kira-kira dua batu barat laut pangkalan.
  • Pesawat dikenal pasti sebagai EA-18G Growler yang berpangkalan di Pulau Whidbey, Washington.
  • Pertunjukan dibatalkan; pangkalan diletakkan di bawah kawalan keselamatan sementara pasukan kecemasan dan siasatan dijalankan.

Menurut kenyataan di laman sesawang pertunjukan udara Gunfighter Skies Air Show, satu insiden pertembungan pesawat berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home, kira-kira dua batu di barat laut pangkalan berkenaan.

“Pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian, siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Rangkaian tempatan CBS News, KOMO melaporkan kesemua empat kru berjaya keluar dengan selamat daripada dua pesawat pejuang EA-18 milik Tentera Laut AS sebelum pesawat terhempas.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kedua-dua jet bertembung sebelum berpusing di udara dan terhempas ke tanah, menyebabkan letupan serta kepulan asap hitam tebal, manakala empat payung terjun kelihatan melayang turun.

Akhbar Idaho Statesman melaporkan pertunjukan udara berkenaan, yang menampilkan aksi aerobatik dan penerbangan lintas hormat, merupakan penganjuran pertama sejak 2018 selepas seorang juruterbang peluncur gantung maut dalam kemalangan sebelum ini.

Jurucakap Tentera Laut AS Pasifik, Komander Amelia Umayam, memaklumkan pesawat EA-18G Growler itu berpangkalan di Pulau Whidbey, Washington.

NBC News pula melaporkan nahas tersebut menyebabkan pertunjukan udara dibatalkan selain pangkalan tentera berkenaan diletakkan dalam kawalan keselamatan sementara pasukan kecemasan mengendalikan lokasi kejadian dan memulakan siasatan.

Cubaan mendapatkan maklum balas daripada pihak pangkalan bagaimanapun tidak berjaya setakat ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.