Tentera AS lumpuhkan kapal Panama cuba tembus sekatan terhadap Iran

Gambar Fail/ Foto REUTERS

ISTANBUL, 12 Ogos – Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Selasa melumpuhkan sistem kemudi sebuah kapal kargo berbendera Panama yang didakwa cuba melanggar sekatan tentera laut AS terhadap Iran dengan belayar menuju ke sebuah pelabuhan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Helikopter MH-60 Tentera Laut AS melancarkan dua peluru berpandu Hellfire ke bilik enjin selepas kru mengabaikan amaran berulang kali.
  • CENTCOM mengesahkan kapal tidak meneruskan pelayaran ke Iran dan menegaskan sekatan maritim masih berkuat kuasa sepenuhnya.
  • Firma Vanguard lapor kapal terkena peluru berpandu, nyala api berjaya dipadam, dan semua 17 kru dikenal pasti selamat.

“Helikopter MH-60 Tentera Laut AS melancarkan dua peluru berpandu Hellfire ke bilik enjin Vela Nova selepas kru awam kapal itu mengabaikan amaran berulang kali daripada tentera AS,” menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

CENTCOM mengesahkan kapal berkenaan tidak lagi meneruskan pelayaran ke Iran dan menegaskan sekatan maritim itu masih berkuat kuasa sepenuhnya.

Setakat Selasa, CENTCOM telah mengubah haluan 55 kapal komersial yang cuba menembusi sekatan itu, melumpuhkan tiga kapal yang enggan mematuhi arahan serta menaiki dua kapal lain.

Terdahulu pada Selasa, firma keselamatan maritim Vanguard memaklumkan Vela Nova terkena peluru berpandu yang dilancarkan dari sebuah helikopter ketika belayar ke arah barat merentasi Teluk Oman, kira-kira 71 batu nautika (131 kilometer) dari pantai Pakistan.

“Peluru berpandu itu mengenai kapal berkenaan dan menyebabkan kebakaran yang kemudiannya berjaya dipadamkan,” menurut Vanguard.

Firma itu turut memaklumkan kesemua 17 kru kapal berkenaan dikenal pasti berada dalam keadaan selamat.

Menurut Wall Street Journal, selepas serangan itu, kapal berkenaan dilihat cuba memindahkan krunya ke sebuah lagi kapal awam.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.