Tanker minyak El Gaia terbakar terkena serangan di Selat Hormuz, dua kru hilang

Kapal tangki minyak, El Gaia, dilaporkan rosak selepas terkena serangan ketika melalui Selat Hormuz pada Sabtu./ REUTERS

SELAT HORMUZ, 16 September – Sebuah kapal tangki minyak, El Gaia, dilaporkan rosak selepas terkena serangan ketika melalui Selat Hormuz pada Sabtu, dengan dua anak kapal masih hilang, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman menunjukkan asap tebal berkepul dari kapal di selatan Selat Hormuz.
  • Fars memetik IRGC berkata kapal terkena periuk api; CENTCOM menafikan, mendakwa ia diserang peluru berpandu Iran bulan lalu.
  • UKMTO lapor projektil dan pemindahan anak kapal; Reuters sahkan identiti El Gaia tetapi tidak dapat mengesahkan tarikh atau pemilik.

Rakaman yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan asap tebal kelihatan berkepul di awan dari kapal berkenaan selepas ia dilaporkan terkena periuk api ketika melalui zon larangan di selatan Selat Hormuz.

Menurut laporan agensi berita Fars pada Isnin yang memetik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), El Gaia terkena periuk api ketika melalui kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) segera menafikan laporan itu dan berkata kapal berkenaan terkena peluru berpandu Iran bulan lalu sehingga tidak lagi boleh beroperasi.

Sementara itu, IMO mengesahkan El Gaia mengalami kerosakan pada Sabtu, namun tidak menyatakan puncanya dan memaklumkan dua anak kapal masih hilang.

Agensi Operasi Perdagangan Maritim Britain(UKMTO) yang mempunyai kaitan dengan Tentera Laut Britain turut melaporkan sebuah kapal yang tidak dikenal pasti terkena projektil di dalam selat itu pada Sabtu.

Menurut UKMTO, kebakaran berlaku dan anak kapal sedang dipindahkan.

Reuters mengesahkan identiti kapal berkenaan sebagai El Gaia berdasarkan tiang, corong asap dan struktur jambatannya yang sepadan dengan imej arkib.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan tarikh rakaman tersebut dan tidak dapat menghubungi pemilik kapal yang berpangkalan di Dubai untuk mendapatkan pengesahan mengenai laporan berkenaan.

El Gaia sebelum ini tersenarai dalam 77 kapal yang didakwa Iran melanggar protokol operasi di Selat Hormuz, dengan Tehran memberi amaran kapal terbabit boleh dikenakan denda, ditahan atau dirampas pada pelayaran seterusnya. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.