Serangan Israel di Gaza ragut sembilan nyawa

Foto AFP

GAZA, 11 September – Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam beberapa serangan Israel di Gaza pada Khamis termasuk empat anggota sebuah keluarga yang terdiri daripada dua kanak-kanak, menurut sumber hospital dan keselamatan Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat empat anggota keluarga ditemui selepas serangan Israel mengenai rumah di Projek Beit Lahia, termasuk dua kanak-kanak umur 12 dan lapan tahun.
  • Tiga serangan berasingan di selatan Gaza membunuh lima orang, termasuk tiga dalam serangan dron berhampiran Khan Yunis.
  • Kementerian Kesihatan Gaza lapor lebih 1,300 maut sejak gencatan senjata; Israel menegaskan akan terus menyerang Hamas.

Seorang pegawai Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza berkata mayat empat anggota keluarga ditemui dalam keadaan berasingan selepas serangan Israel mengenai sebuah rumah di kawasan Projek Beit Lahia, utara Gaza.

Beliau berkata dua kanak-kanak yang maut masing-masing berusia 12 dan lapan tahun.

Sementara itu, lima lagi orang terbunuh dalam tiga serangan berasingan di selatan Gaza, termasuk tiga yang maut dalam serangan dron berhampiran Khan Yunis, menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza kepada AFP.

Tentera Israel berkata pihaknya menyerang sebuah “struktur ketenteraan” yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi operasi pejuang.

Menurut tentera Israel, serangan itu membunuh Muamen Abd al-Rahman Ahmad, yang didakwa merupakan anggota pejuang dan terbabit secara langsung dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Sumber pasukan keselamatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas berkata pesawat Israel melancarkan serangan selepas tengah malam di Beit Lahia dan secara berasingan di kawasan kem pelarian Jabalia.

Sumber itu turut mendakwa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah penduduk yang berlindung serta ambulans.

“Israel terus melakukan pelanggaran di Gaza,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, lebih 1,300 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata diumumkan.

Israel bersetuju dengan gencatan senjata yang dipelopori Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu, namun sejak itu tentera Israel terus mara ke beberapa kawasan di Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan serangan terhadap Hamas, serta tidak akan berundur dari Gaza sehingga kumpulan itu menyerahkan semua senjatanya.

Tentera Israel pula memaklumkan lima anggotanya terbunuh dalam tempoh sama, selain seorang kontraktor awam. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.