Selat Hormuz : Perdana Menteri Pakistan minta Trump lanjut tarikh

Shehbaz Sharif/ REUTERS

LONDON, 8 April – Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, supaya melanjutkan tarikh akhir yang dikenakan ke atas Iran selama dua minggu lagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shehbaz Sharif memohon Presiden Trump melanjutkan tarikh akhir dua minggu bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi.
  • Sharif juga meminta Iran membuka Selat Hormuz selama dua minggu sebagai isyarat niat baik.
  • Trump menetapkan ultimatum masa; mengancam memusnahkan jambatan dan loji tenaga Iran jika tiada persetujuan dicapai.
  • Sharif menyeru gencatan senjata dua minggu untuk membolehkan rundingan diplomatik mencapai penyelesaian muktamad perang.

Langkah itu dilihat membuka ruang bagi usaha diplomasi untuk memastikan Selat Hormuz dapat digunakan semula.

“Bagi membolehkan diplomasi berjalan dengan lancar, saya dengan tulus memohon Presiden Trump melanjutkan tarikh akhir selama dua minggu. Pakistan, dengan sepenuh ikhlas, juga memohon kepada saudara-saudara Iran supaya membuka Selat Hormuz untuk tempoh dua minggu yang sama sebagai isyarat niat baik,” menurut hantaran X Sharif dalam hantaran pada Selasa (7 April).

Trump memberi Iran sehingga pukul 8.00 malam waktu di Washington – 3:30 pagi waktu di Tehran – untuk menamatkan sekatan minyak di Selat Hormuz. Sekiranya tidak mencapai persetujuan Amerika Syarikat memberi ancaman akan memusnahkan setiap jambatan dan loji tenaga di Iran.

Dalam pada itu Sharif turut menyeru semua pihak supaya mematuhi gencatan senjata di semua lokasi selama dua minggu “bagi membolehkan diplomasi mencapai penyelesaian muktamad perang.”

Usaha diplomasi untuk menyelesaikan konflik secara aman sedang “dilakukan dengan potensi menghasilkan keputusan substantif dalam masa terdekat.”

Bagaimanapun White House belum memberi sebarang kenyataan balas mengenai permintaan tersebut.

Pakistan telah menjadi pengantara utama bagi cadangan yang dikemukakan Iran dan Amerika Syarikat, namun tiada tanda-tanda kompromi dicapai setakat ini.- REUTERS