Rusia, China berhasrat bekerjasama redakan ketegangan di Asia Barat

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, tiba di Beijing. Foto AFP

BEIJING, 14 April – Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, tiba di Beijing pada Selasa dalam usaha memperkukuh kerjasama dengan China berhubung beberapa isu, termasuk perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia dan China berhasrat bekerjasama meredakan ketegangan di Asia Barat melalui koordinasi diplomatik.
  • Lavrov dan diplomat tertinggi China, Wang Yi, akan mengadakan rundingan untuk menyelaras pendirian mengenai hubungan dua hala dan kerjasama.
  • Perbincangan meliputi perang di Ukraine serta situasi dan ketegangan di Asia Barat.
  • Hubungan antara Beijing dan Moscow semakin erat sejak pencerobohan Rusia; China menegaskan peranan konstruktif menyokong pemulihan keamanan Teluk.

Lavrov tiba di ibu negara China itu dan diberikan sambutan permaidani merah, menurut foto yang dikongsi Kementerian Luar Rusia.

China pada Selasa turut menerima kunjungan beberapa pemimpin negara yang terkesan akibat perang serta impak ekonominya, termasuk pemimpin Vietnam, To Lam, dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Lavrov dijadual mengadakan rundingan dengan diplomat tertinggi China, Wang Yi, yang menurut Kementerian Luar China akan menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan dan menyelaras pendirian mengenai perkembangan hubungan dua hala, kerjasama dalam pelbagai bidang, serta isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.

Kementerian Luar Rusia dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin itu akan turut membincangkan perang di Ukraine dan situasi di Asia Barat.

Beijing dan Moscow merupakan rakan ekonomi serta politik yang rapat, dan hubungan itu semakin erat sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Wang juga mengadakan perbualan telefon dengan Lavrov pada 5 April lalu, ketika kedua-dua pihak bersetuju bahawa Beijing dan Moscow akan bekerjasama untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.

Sementara itu, Perdana Menteri China, Li Qiang, berkata kepada pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa Beijing “bersedia untuk terus memainkan peranan konstruktif dan menyumbang kepada pemulihan keamanan serta ketenteraman di rantau Teluk.”