
NAGOYA, 18 September – Pusat Media di Port Messe Nagoya di sini mula meriah dengan kehadiran pengamal media dari pelbagai negara menjelang pembukaan rasmi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 esok.
- Media tempatan dan antarabangsa, wartawan, jurugambar, petugas penyiaran bersiap untuk liputan temasya.
- Sebahagian pengamal media meninjau kemudahan pusat media: ruang kerja, komunikasi dan akses maklumat pertandingan.
- Anggota Canon CPS Mohd Khairulhazwan bantu jurukamera dengan penyelarasan kamera; teknologi memudahkan penghantaran laporan dan gambar.
- Pusat media jadi medan pertemuan untuk pertukaran maklumat dan pengalaman antara pengamal media antarabangsa.
Wartawan, jurugambar dan petugas penyiaran tempatan serta luar negara mula membuat persiapan bagi memastikan liputan perjalanan temasya dapat disampaikan kepada pembaca dan penonton di negara masing-masing.
Sebahagian pengamal media turut meninjau kemudahan disediakan di pusat media, termasuk ruang kerja, kemudahan komunikasi dan akses kepada maklumat berkaitan pertandingan.
Anggota Canon Professional Services (CPS) dari Canon Malaysia Mohd Khairulhazwan Zulhaimi, yang telah berkampung sejak lima hari lepas berkata kehangatan temasya sukan itu semakin dirasai hari demi hari.
“Tugas saya adalah bantu jurukamera yang perlukan bantuan daripada sudut penyelarasan kamera di sini.
“Kemudahan teknologi disediakan akan membantu media menyalurkan laporan, gambar serta perkembangan terkini kepada pembaca dan penonton di negara masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Pusat media turut menjadi medan pertemuan pengamal media daripada pelbagai organisasi antarabangsa, sekali gus membuka ruang untuk pertukaran maklumat dan pengalaman dalam membuat liputan acara sukan.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijangka menghimpunkan lebih 15,000 atlet dari seluruh Asia yang akan bersaing dalam lebih 400 acara.
Malaysia menghantar 352 atlet yang akan menyertai 30 sukan membabitkan 156 acara, dengan sasaran enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa. – BERNAMA