
RIYADH, 18 September- Kumpulan Houthi di Yaman menafikan dakwaan Arab Saudi bahawa pihaknya melancarkan serangan dron yang berjaya digagalkan terhadap kota suci Mekah ketika pertempuran baharu di Yaman meragut puluhan nyawa.
- Pemimpin Houthi Abdul Malik al-Houthi menegaskan pengorbanan rakyat Yaman untuk melindungi Mekah dan tempat suci Islam.
- Arab Saudi mendakwa Houthi melancarkan serangan dron ke arah Mekah; serpihan yang ditembak jatuh membunuh seorang warga Yaman di Taif.
- Serangan Houthi di barat daya Yemen bunuh sekurang-kurangnya 23 anggota tentera kerajaan; Houthi kata 40 tenteranya terkorban.
- Gencatan senjata 2022 runtuh Julai; Houthi kenakan sekatan maritim, serang kapal, kuasai kawasan strategik Bab al-Mandab; lebih 100,000 terpaksa pindah.
“Sebagai rakyat Yaman, nyawa, kehidupan, rezeki, harta dan segala yang kami miliki adalah pengorbanan untuk Mekah serta semua tempat suci umat Islam.
“Kami adalah antara pihak yang paling komited untuk melindunginya (Mekah),” kata pemimpin Houthi, Abdul Malik al-Houthi dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Khamis.
Arab Saudi sebelum ini mendakwa Houthi melancarkan serangan dron yang menyasarkan Mekah, sehari sebelum serpihan dron yang ditembak jatuh mengorbankan seorang warga Yaman di wilayah Taif.
Dalam kejadian di Taif itu, dua lagi individu cedera manakala beberapa bangunan dan kenderaan mengalami kerosakan, menurut agensi pertahanan awam Arab Saudi.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 23 anggota tentera Kerajaan Yaman terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat serangan peluru berpandu dan dron Houthi di dua wilayah di barat daya negara itu, menurut pegawai tentera kerajaan kepada AFP.
Sumber tentera Houthi pula mendakwa 40 tenteranya terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi dan pertempuran darat dalam tempoh sama.
Pertempuran kembali memuncak selepas gencatan senjata rapuh antara Houthi dan kerajaan Yaman pada 2022 berakhir pada Julai.
Houthi kemudian mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi serta melancarkan serangan ke atas kapal dan wilayah negara itu.
Konflik terbaharu turut menyaksikan Houthi menguasai kawasan strategik yang menghadap Selat Bab al-Mandab di Laut Merah.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), konflik itu memaksa lebih 100,000 penduduk Yemen meninggalkan kediaman mereka. -AFP