Presiden Iran kecam kuasa besar lakukan jenayah terhadap orang awam

Foto REUTERS

TEHRAN, 22 September – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian secara lantang mengecam kuasa besar dunia yang didakwanya mencabuli pelbagai perjanjian antarabangsa serta melakukan jenayah terhadap orang awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak tertentu berulang kali melanggar perjanjian bertulis yang dimeterai di meja rundingan.
  • Mengutuk kekejaman berterusan di Gaza, Syria, Yaman, dan serangan sekolah Minab yang mengorbankan lebih 150, termasuk kira-kira 120 murid.
  • Kepercayaan terhadap PBB dilaporkan runtuh kerana beberapa negara sewenang-wenangnya melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan sebelum berlepas dari Tehran ke New York pada Selasa menjelang ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke-81, Pezeshkian menegaskan pelbagai pihak telah berulang kali melanggar perjanjian bertulis yang dimeterai di meja rundingan.

Beliau turut mengutuk kekejaman yang berterusan di Gaza, Syria, Yaman, dan Iran.

Beliau secara khusus merujuk kepada serangan pada 28 Februari ke atas Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh di bandar Minab, yang menurut pegawai Iran telah mengorbankan lebih 150 orang, termasuk kira-kira 120 murid.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyifatkan kepercayaan terhadap PBB telah runtuh.

Ini berpunca daripada tindakan sesetengah negara yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang antarabangsa.

Di pasaran kewangan, harga minyak mencatatkan kenaikan buat kali pertama dalam tempoh lima sesi pada Selasa.

Perkembangan itu didorong oleh sikap berwaspada pelabur yang menantikan kebarangkalian rundingan antara AS dan Iran pada Perhimpunan Agung PBB minggu ini, berikutan peningkatan aliran bekalan minyak menerusi Selat Hormuz sejak hujung minggu lalu.

Ketegangan di Asia Barat semakin meruncing selepas kumpulan Huthi di Yaman yang disokong Iran mendakwa telah menyerang Riyadh serta kemudahan Saudi Aramco di Yanbu.

Kumpulan tersebut turut mempertingkatkan usaha menyekat pasukan sokongan Arab Saudi di kawasan pesisir Laut Merah. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.