Presiden Filipina isytihar darurat tenaga susulan krisis Asia Barat

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr/Foto REUTERS

MANILA, 24 Mac – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat tenaga negara pada Selasa (24 Mac), susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memastikan kelancaran bekalan bahan api, makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas.
  • Darurat tenaga berkuat kuasa setahun, membolehkan kerajaan mempercepat pengambilan bekalan dan membuat bayaran pendahuluan untuk menjamin bekalan.
  • Filipina ada bekalan bahan api sekitar 45 hari berdasarkan penggunaan semasa, kerajaan berusaha dapatkan hingga satu juta tong minyak.
  • Kerajaan memantau impak konflik kepada nilai peso dan risiko inflasi, sementara kenaikan harga bahan api mencetuskan bantahan dan mogok dua hari.

Marcos berkata, langkah itu diambil berikutan risiko gangguan bekalan serta ketidaktentuan pasaran minyak dunia.

Menurut beliau, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan kelancaran bekalan bahan api, makanan, ubat-ubatan serta barangan keperluan asas yang lain.

Darurat tenaga yang berkuat kuasa selama setahun itu, membolehkan kerajaan mendapatkan bekalan bahan api dengan lebih cepat termasuk membuat bayaran pendahuluan bagi menjamin bekalan mencukupi.

Sementara itu, Setiausaha Tenaga, Sharon Garin memaklumkan Filipina mempunyai bekalan bahan api untuk kira-kira 45 hari berdasarkan penggunaan semasa.

Kerajaan kini berusaha mendapatkan sehingga satu juta tong minyak dari dalam dan luar Asia Tenggara bagi meningkatkan stok simpanan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut memantau kesan konflik terhadap nilai mata wang peso serta risiko peningkatan inflasi.

Kenaikan harga bahan api turut mencetuskan bantahan, dengan kumpulan pengangkutan dan pengguna merancang mogok selama dua hari bermula Khamis.- REUTERS