Pilihan raya Hungary: Viktor Orban berdepan risiko kekalahan

Viktor Orban/REUTERS

BUDAPEST, 13 April– Proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Umum Hungary bermula selepas pusat pengundian ditutup pada Ahad (12 April), dengan jangkaan kekalahan mengejut kepada Perdana Menteri veteran, Viktor Orban, selepas 16 tahun berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tinjauan terkini menunjukkan parti pembangkang Tisza mendahului, mengancam kedudukan Perdana Menteri Viktor Orban.
  • Parti Tisza pimpinan Peter Magyar memperoleh antara 55 hingga 57 peratus sokongan menurut tinjauan terakhir.
  • Tiada tinjauan keluar dibuat namun rekod menunjukkan tinjauan saat akhir sering tepat.
  • Kekalahan Orban boleh mengubah hubungan Hungary dengan EU dan membuka laluan kelulusan pinjaman €90 bilion kepada Ukraine.

Dua tinjauan terbaharu menunjukkan parti pembangkang, Tisza, mendahului saingan yang sekali gus mampu menamatkan pentadbiran nasionalis pimpinan Orban yang dikenali sebagai sekutu rapat Rusia dan mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Tinjauan terakhir yang diterbitkan sejurus pusat mengundi ditutup menunjukkan parti haluan tengah-kanan, Tisza, pimpinan Peter Magyar memperoleh sokongan antara 55 hingga 57 peratus, mengatasi parti Fidesz pimpinan Orban.

Walaupun tiada tinjauan keluar dilakukan pada pilihan raya kali ini, rekod sebelum ini menunjukkan tinjauan saat akhir sering memberikan keputusan yang tepat.

Keputusan rasmi yang dijangka diumumkan hari ini bakal menentukan hala tuju Hungary, terutama membabitkan hubungan negara itu dalam Kesatuan Eropah (EU).

Kekalahan Orban dijangka menamatkan peranan bertentangan Hungary dalam EU, seterusnya membuka jalan kepada kelulusan pinjaman berjumlah €90 bilion euro (RM424 bilion) kepada Ukraine yang sebelum ini disekat oleh beliau. -REUTERS