Petani Palestin di Tebing Barat berdepan serangan Israel hampir setiap hari

Foto AFP

TEBING BARAT, 6 Jun – Petani Palestin di sini terpaksa mempercepat kerja menuai gandum bagi menyelamatkan hasil tanaman yang menjadi sumber makanan dan pendapatan mereka susulan ancaman serangan penceroboh haram Israel dan tentera Zionis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kampung As-Sawiyah dikelilingi beberapa penempatan haram Israel termasuk Eli, Rehalim dan Shiloh, meningkatkan tekanan terhadap penduduk.
  • Penduduk berdepan serangan hampir setiap hari: pembakaran tanaman, penebangan pokok zaitun, serangan rumah dan rosakan paip air serta rangkaian elektrik.
  • Penceroboh sering membaling objek terbakar ke ladang, menyebabkan api cepat merebak disebabkan tanaman dan jerami yang kering.
  • Musim menuai sepatutnya bermakna kini menjadi pengalaman penuh tekanan; petani berkata mereka merasa seolah-olah mencuri hasil sendiri.

Ketua Majlis Kampung As-Sawiyah, Hekmat Abu Ras berkata musim menuai kini bukan lagi sekadar rutin pertanian, sebaliknya perlumbaan menentang masa bagi mengelak hasil tanaman dimusnahkan atau dirampas sebelum sempat dituai.

Menurut beliau, tekanan itu lebih dirasai penduduk Palestin yang menetap di kampung As-Sawiyah kerana dikelilingi beberapa penempatan haram Israel termasuk Eli, Rehalim dan Shiloh.

Beliau mendakwa penduduk Palestin berdepan serangan hampir setiap hari termasuk pembakaran tanaman, penebangan pokok zaitun, serangan terhadap rumah serta infrastruktur seperti paip air dan rangkaian elektrik.

Seorang petani, Hamad Jazi mendakwa penceroboh Israel sering membaling objek terbakar ke kawasan ladang gandum, menyebabkan api cepat merebak akibat keadaan tanaman dan jerami yang kering.

“Mereka membaling bahan yang terbakar di lima atau enam lokasi. Penduduk bergegas memadamkan api, tetapi tiada yang boleh kami lakukan. Api itu cepat merebak kerana tanaman dan jerami yang kering,” katanya.

Menurut Jazi, musim menuai yang sepatutnya menjadi saat paling bermakna bagi petani kini bertukar menjadi pengalaman penuh tekanan.

“Menuai adalah saat paling indah dalam kehidupan seorang petani namun kini kami melaluinya seolah-olah mencuri buah zaitun atau hasil tanaman kami sendiri kerana serangan daripada penceroboh Israel dan tentera Zionis,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.