
WASHINGTON, 6 Jun – Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan telah menyerang beberapa tapak radar pemantauan maritim di pesisir selatan Iran pada Jumaat.
- CENTCOM menyatakan tapak radar yang disasarkan terletak di Goruk dan Pulau Qeshm.
- Tindakan dikatakan langkah mempertahankan diri selepas Iran melancarkan empat dron ke arah Selat Hormuz.
- CENTCOM berkata semua dron ditembak jatuh kerana menimbulkan ancaman segera terhadap trafik maritim serantau.
- Gencatan senjata sejak 8 April masih rapuh dan rundingan penyelesaian lebih berkekalan belum mencapai kemajuan.
Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS menyatakan, tapak radar yang menjadi sasaran serangan terletak di Goruk dan Pulau Qeshm.
Menurut CENTCOM, tindakan itu kononnya sebagai langkah mempertahankan diri selepas Iran melancar empat dron serangan ke arah Selat Hormuz, selain menghalang serangan lanjut terhadap laluan perairan strategik berkenaan.
“Kami menembak jatuh kesemua dron Iran kerana menimbulkan ancaman segera terhadap trafik maritim serantau,” menurut CENTCOM.
Dalam perkembangan sama, penyiar rasmi Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) melaporkan beberapa letupan kedengaran di Sirik sekitar pukul 2.30 pagi Sabtu waktu tempatan, namun tiada sumber rasmi mengulas butiran letupan tersebut.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika gencatan senjata antara AS dan Iran yang berkuat kuasa sejak 8 April masih rapuh, manakala rundingan susulan bagi mencari penyelesaian lebih berkekalan belum mencapai kemajuan.
Presiden AS, Donald Trump, dalam temu bual bersama NBC News pada Jumaat mengakui Iran masih mempunyai keupayaan ketenteraan meskipun mendakwa sebahagian besar aset negara itu telah dimusnahkan.
“Mereka masih mempunyai sejumlah dron dan mungkin sekitar 22 peratus peluru berpandu,” katanya. – REUTERS