Ekonomi zon euro, EU menguncup pada suku pertama 2026

Foto AFP

LONDON, 6 Jun – Ekonomi zon euro dan Kesatuan Eropah (EU) menguncup pada suku pertama 2026, sekali gus menandakan momentum pertumbuhan ekonomi rantau itu semakin perlahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eurostat: KDNK susut 0.2% zon euro dan 0.1% EU berbanding suku sebelum ini.
  • Pertumbuhan tahunan lemah: EU 0.7% dan zon euro 0.3%, jauh lebih rendah daripada suku sebelumnya.
  • Kemerosotan ketara Ireland: KDNK susut 12.1% suku ke suku dan 16.8% tahunan, menjejaskan zon euro.
  • Ketegangan di Asia Barat menaikkan harga minyak dan gas, membebankan Eropah pengimport tenaga dan meningkatkan risiko stagflasi.

Menurut Eurostat, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diselaraskan mengikut musim susut 0.2 peratus di zon euro dan 0.1 peratus di EU berbanding suku sebelumnya.

Pada suku keempat 2025, kedua-duanya mencatat pertumbuhan 0.2 peratus.

Dari segi tahunan, ekonomi EU berkembang 0.7 peratus manakala zon euro mencatat pertumbuhan 0.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kedua-dua angka itu jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan masing-masing 1.4 peratus dan 1.2 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Eurostat berkata kemerosotan ketara ekonomi Ireland menjadi antara faktor utama yang menjejaskan prestasi keseluruhan zon euro.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, ekonomi negara itu menguncup 12.1 peratus berbanding suku sebelumnya dan 16.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penganalisis pula berpendapat situasi di Asia Barat telah mendorong kenaikan ketara harga minyak dan gas asli, sekali gus memberi tekanan kepada Eropah yang sangat bergantung kepada import tenaga.

Susulan itu, zon euro kini berdepan risiko stagflasi, iaitu keadaan yang menggabungkan pertumbuhan ekonomi yang lembap dengan kenaikan harga berterusan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.