Perubahan iklim, perang ancam tanaman inai

Petani Sudan mengusahakan tanaman inai di El-Damer, Sungai Nil/ AFP

AL-DAMER, 18 September – Kekurangan air, perubahan iklim serta konflik yang berlarutan selama tiga tahun menjejaskan penanaman inai, sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menghasilkan pewarna dan menghiasi tangan pengantin wanita Sudan sejak berabad-abad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik merosakkan rangkaian pengairan: saluran tersumbat, pam rosak, pengurusan air terabai, mengganggu pengairan ladang inai.
  • Fenomena El Nino melambatkan hujan bermusim dan menurunkan paras Sungai Nil, mengurangkan sumber air penting bagi pertanian.
  • FAO melaporkan hujan antara Jun hingga pertengahan Ogos sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding purata jangka panjang.
  • Industri inai menyokong ekonomi tempatan dan eksport, namun pengeluaran merosot dan pengeksport mengubah laluan melalui Mesir.

Inai turut menjadi sebahagian daripada pelbagai majlis kekeluargaan, sambutan keagamaan dan acara kebudayaan di seluruh Sudan.

Menurut juruhias inai, Najwa Mubarak keadaan itu menyebabkan tradisi warisan berkenaan semakin terancam.

“Inai adalah hobi dan warisan kami. Saya menghias tangan pengantin dengan inai kerana ia sebahagian daripada kegembiraan mereka.

“Bagi saya, ia bukan sahaja minat, tetapi juga sumber pendapatan,” kata Najwa.

Di sebuah ladang berhampiran Al-Damer, Abdallah Mohammed menyelusuri barisan pokok inai yang kelihatan layu akibat cuaca panas.

Petani berusia 57 tahun itu sudah berpuluh-puluh tahun mengusahakan tanaman berkenaan, yang daunnya dikeringkan sebelum dikisar menjadi serbuk.

“Air sampai pada jarak waktu yang panjang dan terputus ketika kami paling memerlukannya.

“Akses kepada air merupakan halangan terbesar yang mengehadkan pengeluaran kami dan menyebabkan tanah kekurangan air,” katanya kepada AFP.

Seperti kebanyakan petani di kawasan berkenaan, Mohammed bergantung kepada sistem pengairan yang mendapat bekalan daripada Sungai Nil.

Namun bekalan air yang tidak menentu serta saluran pengairan yang tidak diselenggara menyebabkan tanah pertanian kekeringan pada waktu kritikal, sekali gus mengurangkan kuantiti dan kualiti hasil tanaman.

Konflik antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) turut melumpuhkan sektor pertanian di seluruh negara.

Konflik yang tercetus pada April 2023 itu merosakkan rangkaian pengairan, menyebabkan saluran tersumbat, pam tidak beroperasi dan sistem pengurusan air terabai.

Pada masa sama, corak cuaca El Nino mengganggu sistem cuaca, melambatkan hujan bermusim dan menyumbang kepada penurunan paras air Sungai Nil, sekali gus menjejaskan sumber air penting bagi kawasan pertanian.

Menurut data bank pusat Sudan, sektor pertanian menjadi sumber pendapatan kira-kira 65 peratus penduduk negara itu.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO) pula memaklumkan jumlah hujan di beberapa kawasan pertanian utama antara Jun hingga pertengahan Ogos adalah sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding purata jangka panjang.

Keadaan itu memburukkan kemarau serta meningkatkan risiko terhadap pengeluaran makanan dan kehidupan penduduk di kawasan luar bandar.

Di sekitar Al-Damer, kawasan tanaman inai berwarna hijau menghijau kelihatan seperti pulau kecil di tengah-tengah tanah yang didominasi warna perang dan kuning keperangan.

Aktivis alam sekitar, El-Rasheed Ali Mahdy, menyifatkan inai sebagai “tanaman yang mempunyai kepentingan ekonomi tempatan yang besar.”

Menurut data FAO, Sudan yang pernah menjadi antara pengeluar utama inai di Afrika, membangunkan industri tanaman berkenaan sehingga mampu mengeksport pewarna inai ke pasaran di rantau Teluk, Eropah dan Amerika Utara.

Di Sungai Nil yang sebahagian besarnya tidak terjejas dengan konflik, inai kekal antara tanaman komersial paling bernilai, menyokong kehidupan masyarakat daripada peringkat ladang dan kilang pemprosesan hinggalah ke pasar serta salun kecantikan.

Di sebuah kilang di Al-Damer, pekerja menghamparkan daun inai yang baru dituai untuk dikeringkan sebelum dimasukkan ke mesin pengisar.

Berhampiran kawasan itu, beberapa pekerja memasukkan serbuk hijau yang telah dikisar ke dalam guni besar sebelum dimeterai dalam beg plastik untuk pasaran domestik dan luar negara.

“Sebelum perang, kami mengeksport hasil dari Omdurman (bandar berkembar Khartoum) ke destinasi di seluruh dunia,” kata pemilik kilang, Mohamed Ramadan.

Sejak konflik tercetus, sebahagian pengeksport mengalihkan penghantaran melalui Mesir, berikutan laluan perdagangan tradisional termasuk melalui Chad semakin sukar digunakan.

Namun, di sebalik tekanan yang semakin meningkat terhadap industri berkenaan, pemilik salun di Al-Damer, Omnia El-Sayed, 29, yakin tradisi inai akan terus bertahan.

“Ia sebahagian daripada budaya kami,” katanya. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.